Bersatu, bekerjasama sebagai satu pasukan tangani cabaran tuntutan sosial – Dr. Joachim

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:3 Minute, 6 Second

KOTA KINABALU: Ahli-ahli Majlis Daerah diminta untuk bersatu dan bekerjasama sebagai satu pasukan dengan pengurusan Majlis Daerah dalam menangani cabaran-cabaran dan tuntutan sosial dari masa ke semasa.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, ini penting kerana dengan kewujudan pelbagai media sosial, masyarakat kini semakin sedar dan sedia maklum akan peranan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta kemudahan dan perkhidmatan yang sepatutnya mereka perolehi.

“Dengan perkembangan serta kemajuan teknologi maklumat yang begitu pesat, ia menjadi platform kepada kewujudan pelbagai media sosial. Selaras dengan perkembangan ini, PBT menjadi tumpuan di bawah kanta pembesar masyarakat moden, di mana setiap tindakan yang diambil akan dipaparkan dan diperdebatkan dalam media sosial.

“Masyarakat kini semakin sedar dan sedia maklum akan peranan PBT serta kemudahan dan perkhidmatan yang sepatutnya mereka perolehi. Justeru itu, saya menyeru agar Ahli-ahli Majlis dengan kerjasama pengurusan Majlis Daerah termasuk di Penampang bersatu sebagai satu pasukan untuk menangani cabaran-cabaran dan tuntutan sosial dari masa ke semasa,” katanya ketika merasmikan Majlis Angkat Sumpah Ahli-ahli Majlis Daerah Penampang Sesi 2023-2025 yang diadakan di Hotel Hyatt Centric, di sini, hari ini.

Dr. Joachim berkata, kerjasama pihak Majlis Daerah dengan jabatan-jabatan serta agensi-agensi lain juga amat penting dalam melaksanakan tugas-tugas dan fungsi-fungsi Majlis Daerah dengan lebih berkesan.

“Semoga dengan kolaborasi ini, dapat meningkatkan sistem penyampaian kerajaan kepada rakyat dan mendatangkan hasil berimpak tinggi yang bukan sahaja memberi impak terhadap prestasi Majlis Daerah tetapi juga kepada jabatan-jabatan dan agensi-agensi yang terlibat,” tambahnya.

Beliau menyeru agar Ahli-ahli Majlis menjalankan tugas, mengambil inisiatif untuk memahami peranan Majlis Daerah serta ordinan-ordinan dan undang-undang kecil yang dikuatkuasakan kerana, ordinan, peruntukan undang-undang kecil, dasar, peraturan dan panduan-panduan rasmi adalah merupakan punca kuasa serta garis panduan dalam pelaksanaan fungsi-fungsi Majlis dan pengawalan dalam kawasan operasi Majlis Daerah.

“Ahli-ahli Majlis adalah penggubal dasar serta pembuat keputusan di Majlis Daerah. Oleh itu, tuan-tuan dan puan-puan hendaklah berpengetahuan dari segi dasar serta peruntukan undang-undang Majlis Daerah.

“Dengan pengetahuan serta penguasaan yang baik terhadap peranan dan dasar-dasar serta perundangan majlis, saya percaya Ahli-ahli Majlis yang dilantik boleh bertindak sebagai perantaraan diantara pihak Majlis Daerah dengan masyarakat umum dalam menyemai kesedaran kepada masyarakat tempatan bahawa sebagai penduduk di kawasan tersebut, mereka juga mempunyai tanggungjawab dan kewajipan kepada PBT. PBT yang maju dan dikendalikan dengan bijak mencerminkan kemampuan Ahli-ahli Majlis dalam melaksanakan tugas masing-masing,” katanya.

Mengucapkan tahniah kepada 20 orang Ahli-ahli Majlis Daerah Penampang yang dilantik, Dr. Joachim percaya dengan adanya komitmen penuh dan kerjasama di antara Ahli-ahli Majlis dan pihak pengurusan Majlis Daerah Penampang, matlamat Kerajaan untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dapat dicapai.

Beliau berharap Ahli-ahli Majlis dapat menjalankan fungsi dan peranan yang aktif dalam mempertingkatkan imej dan kewibawaan Majlis Daerah Penampang melalui penyertaan dan kerjasama rapat dengan semua pihak sama ada di pihak kementerian mahu pun bersama pengurusan di Majlis Daerah Penampang.

“Pelantikan ini merupakan satu platform di mana Ahli Majlis akan dapat menyumbang tenaga, idea dan buah fikiran dalam pembangunan dan kemajuan daerah Penampang. Pelantikan ini juga adalah satu amanah dan tanggungjawab yang amat berat dan penting. Ia bukanlah sebagai peluang untuk memenuhi kepentingan diri sendiri, rakan-rakan ataupun saudara-mara. Keperluan dan kepentingan awam hendaklah diberi keutamaan,” katanya.

Turut hadir Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi Malaysia Merangkap Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick; Ahli-ahli Dewan Negara Malaysia, Senator Datuk John Ambrose dan Senator Datuk Noraini Idris; Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan Dan Perumahan Sabah, Datuk Dr. Jamili Nais, Pengerusi Majlis Daerah merangkap Pegawai Daerah Penampang, Francis Chong; Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Penampang, Robert Malangking, Datuk Donald Mojuntin; Ketua-Ketua Jabatan, Pegawai-Pegawai serta Kakitangan Majlis Daerah Penampang.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *