HomeUtamaMajlis Sedekah Jariah rai 338 golongan asnaf

Majlis Sedekah Jariah rai 338 golongan asnaf

Read Time:1 Minute, 22 Second

KOTA KINABALU: Seramai 338 golongan anak yatim, ibu tunggal dan warga emas diraikan pada majlis Sedekah Jariah anjuran Masjid Bandaraya Kota Kinabalu (MBKK), di sini, hari ini.

Sumbangan berbentuk wang tunai dan keperluan asas makanan itu disampaikan Timbalan Menteri Sumber Manusia, merangkap Ahli Parlimen Sepanggar, Mustapa Sakmud.

Majlis turut dihadiri tiga penyumbang utama iaitu Kumpulan BTC Berhad, Kain Mewah dan Jalen Distributor Sdn Bhd.

Mustapa berkata, tujuan utama penganjuran majlis itu adalah bagi meraikan golongan asnaf terutamanya anak yatim dan ibu tunggal bagi memastikan mereka tidak merasa terpinggir.

Katanya, ia diharap dapat memberi keceriaan kepada mereka yang kurang bernasib baik dalam menyambut bulan Ramadan dan hari raya Aidilfitri.

“Kita amat berbesar hati dan berterima kasih kepada syarikat-syarikat yang sudi tampil untuk menghulur sumbangan membantu mereka yang kurang bernasib baik.

“Hubungan akrab antara sektor korporat dan masjid seperti ini perlu terus diperkukuhkan lagi untuk manfaat bersama semua pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyampaian Sedekah Jariah, di Dewan Hadhari MBKK, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi MBKK, Datuk Ab Jamal Tun Sakaran; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BTC Berhad, Datuk Abdul Kadir M.E Sikkandar dan wakil-wakil syarikat penyumbang lain.

Mustapa berkata, apa yang pasti, sumbangan ini sudah tentu dapat meringankan bebanan penerima terutamanya dalam persiapan menjelang sambutan hari raya Aidilfitri tahun ini.

Sementara itu, Mustapa berkata, pihaknya sudah merangka usaha untuk mencapai sasaran ‘menoktahkan’ golongan miskin tegar di Parlimen Sepanggar.

Katanya, seramai 492 golongan miskin tegar sudah dikenalpasti melalui perangkaan yang dibuat oleh pihak berwajib.

“Kita akan menyusun atur pelbagai program termasuk memberi latihan kemahiran kerja dan peluang pendapatan tambahan dalam sektor pertanian, makanan serta perkhidmatan,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Crisnanalina mula daftar masuk ke UMS esok, bantuan kebajikan akan dijaga...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular