HomeIsu tempatanAmbil peluang bantu golongan memerlukan dibulan mulia - Jahid

Ambil peluang bantu golongan memerlukan dibulan mulia – Jahid

Read Time:1 Minute, 30 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

Tamparuli : Rakyat di negeri ini diseru untuk terus menyumbang dan membantu golongan kurang bernasib baik khususnya pada bulan Ramadan.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Jahid Jahim berkata, pada bulan mulia ini sudah tentu ramai individu yang memerlukan bantuan dan ehsan daripada masyarakat.

“Justeru, ambillah peluang keemasan ini untuk sama-sama menyumbang dan berbakti kepada masyarakat bagi meringankan beban mereka.

“Keperluan setiap masyarakat itu sentiasa berbeza-beza dan dengan bantuan yang disalurkan sekurang-kurangnya ianya akan dapat membantu golongan memerlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program JIWA (Jalinan Insan Wahana Aspirasi) dan Majlis Berbuka Puasa di Masjid Ubudiyyah Pekan Tamparuli, di sini malam ini.

Hadir sama, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan Dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Joniston Bangkuai; Penolong Pegawai Daerah Kecil Tamparuli, Herman Tunggiging dan Pegawai Penerangan Daerah Tuaran, Malina Jamarin.

Jahid berkata, pihaknya berharap agar pada masa akan datang, program agihan sumbangan seperti itu akan dapat diteruskan.

Terdahulu, Pegawai Tadbir Agama JHEAINS Daerah Kecil Tamparuli, Suffian Kundu, mengucapkan terima kasih kepada Jahid kerana setiap tahun memberi sumbangan kepada para imam, Pengerusi Masjid dan guru-guru di sekolah-sekolah agama.

“Terima kasih juga kepada pihak JAKIM atas sumbangan berbentuk bakul makanan kepada golongan memerlukan,” katanya.

Dalam pada itu, Pegawai Penerangan Tuaran, Malina Jamarin menghargai kerjasama yang baik pihak Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Tamparuli yang sentiasa memberi kerjasama kepada mereka dalam mengadakan apa juga program di kawasan Tamparuli.

“Menerusi Program JIWA Jabatan Penerangan ini, diharapkan akan dapat meningkatkan kesedaran dan pemahaman rakyat terhadap inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan secara berterusan dalam Konsep Malaysia Madani ,”kata Malina.

Pada majlis anjuran bersama JHEAINS Daerah Kecil Tamparuli dan Pejabat Penerangan Daerah Tuaran tersebut, seramai 50 orang merupakan penerima bakul makanan, manakala 47 lagi terdiri daripada Pengerusi Masjid dan Surau di kawasan Tamparuli. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

UMS usaha sebar luas pengetahuan berkaitan HIV AIDS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular