Sabitan dan hukuman penjara tiga tahun, denda RM50,000 terhadap Peter Anthony kekal

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:3 Minute, 23 Second

BERNAMA

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini mengekalkan hukuman penjara tiga tahun serta denda RM50,000 terhadap bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Datuk Peter Anthony kerana memalsukan surat berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan Sistem Mekanikal dan Elektrik (M&E) di Universiti Malaysia Sabah (UMS), sembilan tahun lepas.

Hakim Datuk Ahmad Bache membuat keputusan itu selepas menolak rayuan Peter, 52, selaku perayu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen pada 26 Mei 2022.

Mahkamah turut membenarkan permohonan peguam S. Devanandan yang mewakili Peter untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman dan sabitan terhadap anak guamnya sementara menunggu pelupusan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Pada Jun tahun lepas, Peter memfailkan rayuan terhadap hukuman penjara dan denda yang dijatuhkan oleh Hakim Azura Alwi selepas mendapati dia bersalah atas pertuduhan berkenaan.

Peter, sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati Sdn Bhd, didakwa memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 iaitu memasukkan pernyataan palsu dengan niat digunakan untuk tujuan menipu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di pejabat Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014, mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) itu membayar denda RM50,000.

Hakim Ahmad dalam penghakimannya berkata mahkamah bersetuju dengan dapatan hakim bicara bahawa saksi pendakwaan ketiga (SP3) Mohd Shukur Mohd Din, Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) UMS Profesor Dr Shariff Abdul Kadir S. Omang (SP8) dan bekas Pendaftar UMS Datuk Abdullah Mohd Said (SP9) bukan rakan sejenayah perayu.

“Mahkamah juga mendapati tiada sebab untuk saksi-saksi ini berbohong dan saling menyokong antara sama lain kerana mereka menjadi mangsa yang diperdaya serta dipergunakan oleh perayu (Peter). Keterangan mereka konsisten yang beranggapan P2 (surat sokongan) adalah untuk kepentingan UMS bagi maksud ‘perkongsian pintar’ dan bukan untuk kepentingan peribadi mereka,” katanya.

Beliau berkata SP8 dan SP9 telah mendapatkan kepala surat kosong daripada bekas Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) Profesor Datuk Dr Mohd Harun Abdullah (SP1) dan kemudian SP3 menaip draf surat sokongan namun tajuk pada kepala surat itu tidak ditaip oleh SP3.

“Keterangan juga menunjukkan beberapa surat sokongan telah dibuat perayu dan SP8, SP9 dan SP3 juga telah memberi surat sokongan seperti diminta perayu. Ketiga-tiga saksi ini kemudian berjumpa Datuk Seri Najib Tun Razak yang ketika itu merupakan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan untuk meminitkan surat sokongan itu,” katanya.

Hakim Ahmad berkata hakim Mahkamah Sesyen (HMS) tidak terkhilaf dan mahkamah juga bersetuju dengan dapatan hakim itu bahawa perayu memalsukan dokumen sedangkan perayu mengetahui projek itu dibuat melalui tender terbuka.

“Mahkamah bersetuju bahawa pembelaan perayu difikirkan kemudian yang akhirnya membawa bencana kepada perayu. Setelah meneliti keseluruhan keterangan yang ada dan mengambil kira hujahan kedua-dua pihak serta meneliti eksibit, mahkamah bersetuju dengan dapatan hakim bicara bahawa pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah dan oleh itu, mahkamah menolak rayuan perayu,” kata hakim itu.

Terdahulu, Devanandan memohon supaya mahkamah mengurangkan hukuman penjara dan denda yang dijatuhkan oleh hakim bicara yang dianggap agak keterlaluan mengambil kira sumbangan diberikan perayu kepada rakyat Sabah.

“Perayu seorang menteri di Sabah sebelum dituduh di mahkamah dan beliau banyak memberi sumbangan pada rakyat di negeri itu selain memberi projek dan program untuk penuntut UMS menjalani latihan di syarikat perayu.

“Mahkamah juga perlu pertimbangkan faktor perayu yang merupakan pesalah pertama,” kata peguam itu yang turut memohon supaya mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu rayuan diputuskan oleh Mahkamah Rayuan.

Menurut peguam, pihaknya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan hari ini dalam masa terdekat.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata tidak dinafikan bahawa perayu seorang terpelajar dan banyak memberi sumbangan di Sabah dan perkara itu telah diambil kira oleh hakim bicara sebelum menjatuhkan hukuman.

“Denda RM50,000 itu celah gigi perayu sahaja. Oleh itu, saya mohon hukuman penjara dan denda dikekalkan kerana ia tidak terlalu tinggi,” katanya.

Wan Shaharuddin juga tidak membantah permohonan peguam untuk penggantungan pelaksanaan hukuman penjara kerana perayu tidak pernah menimbulkan masalah semasa prosiding kesnya di Mahkamah Sesyen.

“Perayu mesti diberi peluang untuk merayu dan pihak kami tidak membantah permohonan peguam itu,” katanya. – BERNAMA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *