HomeUtamaMisi Evakuasi : Semua rakyat Malaysia selamat tiba di Port Sudan

Misi Evakuasi : Semua rakyat Malaysia selamat tiba di Port Sudan

Read Time:1 Minute, 22 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

Kota Kinabalu : Semua rakyat Malaysia di Sudan yang terlibat dengan proses evakuasi telah selamat tiba di Port Sudan semalam pada jam 2.07 petang waktu Sudan atau 8.07 malam waktu Malaysia.

Menteri Luar Negeri Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, semua mereka yang terlibat melalui perjalanan sejauh 1,233 kilometer dan mengambil masa selama 30 jam.

Katanya, jumlah keseluruhan rakyat Malaysia yang terlibat dalam proses evakuasi itu adalah seramai 30 orang.

“Pasukan Khas Ops Sudan Malaysia juga berjaya membantu mengeluarkan 26 warganegara lain untuk turut sama dalam proses evakuasi ini.

“Pecahan bagi warganegara lain adalah seorang warga Filipina; enam orang Kemboja; 14 orang Singapura; seorang Thailand; dua orang Amerika Syarikat; seorang warga Palestin dan seorang warga Sudan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dr Zambry berkata, dua orang rakyat Malaysia yang tidak terlibat dengan proses evakuasi ini berkhidmat di United Nations Mission in Sudan (UNMIS) di Abyei dan proses evakuasi mereka akan dilakukan oleh pihak United Nations (UN).

Katanya, pihaknya juga sedang mengusahakan untuk membawa kesemua 56 orang ini keluar dari Port Sudan melalui dua opsyen.

“Dua opsyen itu sama ada melalui laluan udara (sewaan khas pesawat) atau melalui laluan laut (kapal laut).

“Ini bergantung kepada opsyen mana yang akan mendapat kelulusan paling cepat dan segera daripada pihak berkaitan,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Zambry berkata, keadaan rakyat Malaysia dan warganegara lain di dalam konvoi Malaysia ini dimaklumkan berada dalam keadaan sihat dan selamat.

“Sama-sama kita doakan agar proses mengeluarkan mereka dari Sudan berjaya dilakukan sesegera mungkin dan seterusnya kesemua mereka dapat pulang ke tanah air dengan selamat,”katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Pengamal media bantu kerajaan sebar, terangkan berita tepat, sahih kepada rakyat...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya