HomeUtamaIktiraf kejayaan wanita - Azizah

Iktiraf kejayaan wanita – Azizah

Read Time:2 Minute, 29 Second

KOTA KINABALU: Usaha untuk memberi pengiktirafan kepada golongan wanita yang berjaya dalam bidang perniagaan serta memberi sumbangan kepada komuniti akan terus dipergiat.

Presiden Perkumpulan Perempuan Sabah (PPS), Datuk Seri Azizah Mohd Dun berkata, kejayaan dan prestasi menonjol kaum wanita dalam komuniti masyarakat tidak dapat disangkal lagi dan perlu sentiasa diberi perhatian serta pengiktirafan sewajarnya oleh semua pihak.

“Kita adalah antara sebuah persatuan yang tertua di negeri Sabah ini dan perkara yang mahu kita terus fokuskan dan beri tumpuan adalan memastikan pengiktirafan diberikan kepada golongan wanita.

“Dari segi usaha kerasnya dan sumbangannya kepada pembangunan keluarga, komuniti, negeri dan sekaligus juga pembangunan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa hadir dalam Majlis Rumah Tebuka Hari Raya Aidilfitri PPS di Dewan PPS Sembulan, disini pagi tadi.

Menurut Azizah, pelbagai program dan usaha untuk memperbanyak aktiviti serta program yang menonjolkan golongan wanita akan terus dirancang dan dilaksanakan dari semasa ke semasa.

“Kita akan usahakan aktiviti serta program yang fokus menampilkan wanita, peranan wanita itu kepada masyarakat dan pelbagai lagi.

“Kita pada asalnya semasa awal penubuhan persatuan kita, objektifnya adalah untuk memperkasa golongan wanita di negeri ini, khasnya mereka yang berada di kawasan luar bandar.

“Aktiviti awal yang kita telah laksanakan dulu adalah seperti memasak makanan, menjahit dan pelbagai lagi dengan matlamat untuk meningkatkan kualiti dan usaha wanita bagi menjaga keluarga mereka dan akhirnya usaha keras itu berkembang sehingga mereka mampu menghasilkan produk, memulakan perniagaan, katering dan sebagainya,” katanya.

Dalam pada itu, Azizah juga memberitahu bahawa pengiktirafan kepada kejayaan golongan wanita perlu lebih diperkukuhkan meliputi semua bidang.

“Kita sebagai wanita disamping memperkasa kemahiran serta kebolehan kita mengurus keluarga, perniagaan dan sebagainya yang kita lakukan dalam rutin seharian kita, kita juga perlu sentiasa berusaha menambah kemahiran sedia ada.

“Misalnya dari segi kepimpinan, tidak kira samaada kepimpinan dalam politik atau organisasi, kita perlu sentiasa meningkatkan kemahiran kita seperti kemahiran berkomunikasi, pengucapan awam, mengambil kira perkembangan isu semasa dan sentiasa mengikuti kursus atau bengkel yang diadakan oleh mana-mana agensi bagi memberi nilai tambah kepada diri kita,” ujarnya.

Azizah juga menegaskan bahawa masih ramai golongan wanita di luar sana yang berjaya dalam kerjaya dan belum dikenalpasti atau diberikan pengiktirafan sewajarnya.

“Betul di luar sana masih ramai wanita yang berjaya dalam pekerjaan dan bidang yang diceburi tetapi belum diiktiraf.

“Tidak mengapa, kita akan berusaha sedaya upaya untuk mengenalpasti dan memastikan golongan wanita sentiasa diiktiraf dalam setiap kejayaan yang kita lakarkan untuk masyarakat,” jelasnya lagi.

Azizah turut menyeru semua wanita untuk kekal aktif dan sentiasa bergerak ke hadapan dalam melaksanakan urusan pekerjaan dan mengambil langkah proaktif.

“Kita jangan kekok dan kita perlu terus fokus dalam melaksanakan rutin harian dan pekerjaan kita tidak kira dalam apa bidang sekalipun.

“Jangan segan untuk menjalinkan kolaborasi atau jalinan kerjasama dengan agensi-agensi swasta atau kerajaan yang ada kerana saya yakin, golongan wanita semuanya mempunyai bakat dan potensi untuk ditonjolkan dan dikongsika kepada komuniti masyarakat,” tambahnya.

Dalam majlis itu, seramai 25 anak-anak yatim dari Rumah Kesayangan Sembulan diraikan.

Turut hadir memeriahkan majlis rumah terbuka itu adalah ahli-ahli PPS.

RELATED ARTICLES
Utama

Perdana Park masih ditutup atas faktor risiko keselamatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular