HomeUtamaSentiasa peka, berwaspada serta kemaskini ilmu pengetahuan dalam kecanggihan teknologi masa kini...

Sentiasa peka, berwaspada serta kemaskini ilmu pengetahuan dalam kecanggihan teknologi masa kini – Acryl

Read Time:2 Minute, 22 Second

KOTA KINABALU: Masyarakat diingatkan supaya sentiasa peka dan berwaspada serta sentiasa kemaskini ilmu pengetahuan mereka mengenai kecanggihan teknologi masa kini yang sedang berkembang luas di negara ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, kita sedia maklum bahawa teknologi internet semakin hari bertambah maju dan canggih dan ditambah lagi dengan kehadiran jaringan 5G telahpun dilaksanakan secara berfasa.

“Apa yang saya perhatikan berhubung perkara ini, mereka yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan atas kecanggihan teknologi ini untuk membuat aktiviti-aktiviti ataupun kegiatan-kegiatan yang boleh merugikan anggota masyarakat secara umumnya. Mereka terlibat dengan segala bentuk tipu daya dan penyamaran.

“Sekiranya anggota masyarakat tidak peka, tidak berhati-hati ataupun tidak berwaspada maka dengan mudah mereka terperangkap dalam denga tipu daya mereka.

“Itu sebabnya saya sangat menekan kepada anggota masyarakat sentiasa kemaskini pengetahuan mereka. Masyarakat jangan mudah rasa gentar dengan taktik-taktik ataupun teknik-teknik yang diguna oleh mereka yang sentiasa berusaha mengambil kesempatan,” katanya semasa Majlis Pemakaian Pangkat Pesuruhjaya Polis Sabah dan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Sabah, dekat sini hari ini.

Dalam pada itu, Acryl turut mengingatkan kepada mereka yang menjalikan hubungan persahabatan dan berurusniaga di alam maya.

Katanya, mereka yang menjalinkan hubungan persahabatan di alam maya ini, mereka tidak pernah berjumpa malah tidak pernahpun berkomunikasi secara fizikal dan mereka hanya berkomunikasi secara menulis teks di dalam talian sahaja tetapi telah diambil kesempatan untuk diperdaya oleh mereka yang tidak bertanggungjawab sehingga mengalami kerugian kepada mereka yang menjadi mangsa.

“Kerugian yang saya lihat di sini bukanlah kerugian yang kecil, kerugian melibatkan angka yang besar, ada yang kehilangan wang simpanan ‘live saving’ untuk wang persaraan khususnya untuk usia tua nanti tetapi ditipu diperdaya, itu sebabnya kita semua sama-sama bertanggungjawab, kita semua sama-sama mengambil peranan dan rakan media juga untuk menyebarluaskan mengenai kesedaran perkara ini,” tegasnya.

Mengenai dengan urusniaga, beliau menjelaskan bahawa pihak berkuasa tidak berurusan secara terperinci melalui telefon dan itu yang pasti. Telefon hanya digunakan untuk menetapkan temujanji di pejabat yang rasmi sahaja.

“Apa juga urusan selain dari di pejabat yang rasmi, kita harus berwaspada, itulah ingatan saya kepada semua ahli masyarakat,” ujarnya.

Beliau berkata, masih ada lagi segelintir masyarakat yang terlibat dengan skim pelaburan yang tidak rasional pulangan yang dijanjikan.

“Kita lihat masih ada lagi segelintir masyarakat terjebak dengan skim-skim pelaburan-pelaburan, yang kadang-kadang kita lihat tidak begitu rasional dari segi pulangan yang dijanjikan 10 hingga 15 peratus sebulan yang sangat tidak masuk akal kerana tidak ada perniagaan yang boleh menjanjikan keuntungan tetap bersih setiap bulan malah perniagaan yang berjaya sekalipun mereka akan sentiasa melalui susah payah untuk memastikan perniagaan mereka berjaya dan menguntungkan.

“Kadang-kadang ada mereka (scammer) menjanjikan hadiah-hadiah lumayan menanti, disebaliknya mereka akan menjadikan itu sebagai helah untuk mereka memperdaya kepada mangsa-mangsa membuat pembayaran malah bukan sedikit jumlah yang terlibat. Jadi itulah pesan saya berkaitan perkara ini,” tegas beliau lagi.

RELATED ARTICLES
Utama

Pemilihan U Mobile Sebagai Pengendali 5G Kedua Undang Tanda Tanya, Pakar...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular