BERNAMA
Kuala Lumpur: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjalankan Operasi Pembenihan Awan di kawasan tadahan Empangan Teluk Bahang serta Empangan Teluk Air Itam di Pulau Pinang bermula semalam.
TUDM dalam kenyataan semalam memaklumkan operasi itu dijangka berlarutan hingga Khamis ini yang turut melibatkan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
Menurut TUDM, operasi yang bermula pada 11 pagi itu melibatkan penyediaan empat tangki bancuhan larutan garam dengan muatan 1,500 liter bagi setiap tangki.
“Setelah mengambil masa lebih kurang tiga jam penyediaan bancuhan, keempat-empat tangki ini dimasukkan ke dalam pesawat angkut C130H oleh anak kapal No 20 Skuadron,” menurut kenyatan itu.
Kenyataan itu menyebut pesawat angkut TUDM diterbangkan oleh Komander Pesawat Leftenan Kolonel Mohd Khairol Fadly Abu Bakar bersama dua juruterbang, lima anak kapal, empat kakitangan MetMalaysia dan seorang kakitangan Badan Kawal Selia Air yang berlepas dari Pangkalan Udara Subang pada 2.45 petang.
“Semoga usaha bersepadu yang dilaksanakan dapat membantu usaha pembenihan awan bagi memulihkan bekalan air yang terjejas dan semakin menyusut di kawasan tadahan hujan,” menurut kenyataan itu. BERNAMA.