HomeUtamaManfaatkan kestabilan politik, tingkatkan tahap sosioekonomi diri & keluarga

Manfaatkan kestabilan politik, tingkatkan tahap sosioekonomi diri & keluarga

Read Time:2 Minute, 42 Second

RANAU: Rakyat termasuk di daerah ini diseru untuk memanfaatkan sepenuhnya kestabilan politik yang dikecapi di negeri ini khasnya dan negara amnya untuk meningkatkan tahap sosioekonomi diri dan keluarga.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam yang membuat seruan ini berkata, mereka yang memiliki tanah perlu terus giat mengusahakannya serta mengkomersialkan hasil tanaman dan juga perusahaan produk tempatan.

“Biarpun tanah hanya kecil sahaja, namun jika diusahakan dengan sepenuhnya, ia pasti akan membuahkan hasil tuaian yang baik, demikian juga dengan produk tempatan yang saya lihat di gerai-gerai di sini, terdapat pelbagai produk tempatan yang dipamerkan mempunyai potensi untuk dibangunkan dan dimajukan lagi,” katanya ketika merasmikan Sambutan Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Ranau yang diadakan di Dewan Masyarakat Ranau, hari ini.

Terdahulu, Dr. Joachim yang juga Timbalan Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) berkata, Pesta Kaamatan mencetus satu transformasi ke arah masyarakat berbilang kaum yang penyayang dan saling hormat-menghormati.

Justeru katanya, tema perayaan Pesta Kaamatan iaitu “Kaamatan Membudayakan Perpaduan” adalah tepat pada masanya.
 
Menurut beliau, Kaamatan dapat mempersatukan pelbagai etnik yang terdiri daripada Kadazan Dusun, Murut dan Rungus (KDMR) yang merayakan pesta yang berprestij ini, selain mampu mengangkat martabat budaya dan amalan tradisi di mata dunia.

“Dengan erti kata yang lain, pesta ini adalah satu wadah untuk bersatu di negeri ini dan seterusnya menjadikan daerah termasuk Ranau lebih maju dan makmur sentosa,” ujarnya.
 
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang itu berkata, selain itu Pesta Kaamatan juga terus menjadi daya tarikan kepada pelancong luar dan dalam negara.

Kehadiran pelancong ini secara tidak langsung dapat menyumbangkan ekonomi negeri, kata Dr. Joachim, sambil menambah, pesta ini juga dapat memberikan peluang kepada peniaga kecil tempatan menjana pendapatan yang lebih di musim perayaan seumpama ini dengan menjual pelbagai barangan perhiasan tradisional, kraftangan dan makanan tempatan.
 
“Saya berharap kita semua dapat menghayati erti Kaamatan yang sebenar dan semoga anda semua terhibur dengan pelbagai acara yang diadakan dalam sambutan Kaamatan seperti Sukan tradisi, Pertandingan Sugandoi, Unduk Ngadau dan lain-lain.

“Marilah kita bersama meraikan sambutan Pesta Kaamatan pada tahun ini dengan penuh kesyukuran bersama ahli keluarga, sahabat handai dan dengan segenap lapisan masyarakat di negeri Sabah yang kita cintai ini,” katanya.

Sementara itu, beliau yang juga Menteri Penyelaras Pengurusan Covid-19 Sabah, menasihati semua agar terus mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan daripada jangkitan Covid-19 di musim perayaan ini.

“Tahun ini kita amat bersyukur kerana dapat menyambut Kaamatan dalam suasana berakhirnya pandemik Covid-19 seperti yang diumumkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) baru-baru ini. Sungguhpun begitu, kita semua masih perlu berjaga-jaga dan sentiasa mematuhi saranan serta arahan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) agar pandemik ini tidak kembali menimpa kita. Kita juga hendaklah bersyukur kerana Kerajaan kita berjaya menangani situasi pandemik Covid-19 selama ini,” katanya.

Beliau juga mengucapkan syabas dan tahniah kepaxa ahli-ahli jawatankuasa (AJK) penganjur yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Ranau, Jumain Abdul Ghani.

Turut hadir ialah Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Merangkap ADUN Paginatan, Datuk Abidin Madingkir; Ahli Parlimen P. 179 Ranau, Datuk Jonathan Yasin; ADUN Dilantik, Datuk Amisah Yasin; Penolong Pegawai Daerah Kanan (Pentadbiran), Hasinin Kinsim; Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan), Marcelus Joannes; Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan), Farihah Mohd Jamian; Ketua-ketua Jabatan Negeri & Persekutuan Daerah Ranau dan Ahli Jawatankuasa Sambutan Pesta Kaamatan tahun 2023.

RELATED ARTICLES
Utama

Cubaan Potong Berakhir Tragedi: Isteri Pemandu Maut di Lokasi

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular