HomeUtamaUndang-undang kecil tingkatkan hasil PBT dalam proses pewartaan - Dr. Joachim

Undang-undang kecil tingkatkan hasil PBT dalam proses pewartaan – Dr. Joachim

Read Time:3 Minute, 56 Second

KOTA KINABALU: Satu undang-undang kecil yang penting untuk meningkatkan hasil Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Sabah kini dalam proses pewartaan, kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam. 

Beliau yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) berkata, pihak Kementerian akan memaklumkan dan melaksanakan roadshow untuk memberi khidmat nasihat kepada semua PBT.

“Ini adalah antara usaha yang sedang dilaksanakan di peringkat Kementerian,” katanya pada Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2022 dan Majlis Amanat Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Sabah 2023 yang diadakan d Magellan Sutera Harbour, di sini, kelmarin (12 Mei).

Dr. Joachim berkata, PBT boleh dikatakan “a self-sustained organisation”, di mana walaupun ada sedikit suntikan bantuan daripada pihak Kerajaan tetapi mencari hasil bagi kelangsungan PBT adalah suatu yang perlu dititik beratkan.

“Berusahalah untuk mencari sumber pendapatan baharu yang mampu meningkatkan pendapatan PBT. Pejabat Kementerian sentiasa terbuka untuk berbincang dan bertukar pendapat.

“Di pihak Kementerian, barisan pegawai sentiasa mengalu-alukan untuk sesi perbincangan penambahbaikan di PBT. Hasil-hasil seperti kutipan cukai pintu, sewaan serta lesen perlu terus dikutip dan dipergiatkan kutipan hasil semasa dan juga kutipan tunggakan. Kita perlu berfikir di luar kotak (outside of the box) bagi memastikan hasil dikutip dan menjana hasil-hasil baharu,” tegasnya.

Dr. Joachim berkata, selain itu, banyak lagi program yang telah dan sedang dirancang di peringkat Kementerian dalam usaha memantapkan lagi penyampaian perkhidmatan di Kementerian ini sejajar dengan empat teras utama kementerian iaitu mentransformasikan penyampaian perkhidmatan PBT; memantap dan melestarikan pembangunan sektor perumahan; perancangan pembangunan guna tanah yang mampan dan sistematik, dan memantapkan fungsi dan peranan Mahkamah Anak Negeri.

Terdahulu, Dr. Joachim menyatakan harapannya agar Kementerian dan agensi di bawah Kementerian serta semua PBT dapat bekerja sebagai satu pasukan.

Katanya, amalan budaya kerja berpasukan atau “team spirit” di kalangan mereka semua amatlah penting dalam memastikan mereka bekerja ke arah matlamat yang sama.

“Kecemerlangan bukan sahaja diukur dengan tercapainya sasaran kerja tetapi ianya dinilai melalui perkhidmatan yang berintegriti. Oleh itu boleh kita simpulkan bahawa kecemerlangan itu adalah cerminan diri kita sebagai seorang penjawat awam.

“Saya amat berharap kepada semua agar sentiasa menghayati apa juga tugasan dan arahan serta tanggungjawab yang telah diamanahkan. Sebagai seorang penjawat awam kita semua tidak pernah jauh daripada aduan dan tuduhan sama ada daripada orang awam yang pernah berurusan dengan kita mahupun mereka yang berurusan dengan kakitangan di pejabat.

“Saya serta barisan pengurusan Kementerian juga tidak lari daripada menerima aduan-aduan daripada orang ramai mahupun pihak pengurusan atasan Kerajaan Negeri. Ingin saya ingatkan kepada semua bahawa pihak Kementerian tidak pernah dan tidak akan sewenang-wenangnya menerima tuduhan, aduan dan tomahan tersebut dan akan menyiasat kesahihan aduan yang diajukan.

“Walau bagaimanapun, di sepanjang proses siasatan terdapat juga hasil siasatan mendapati aduan adalah benar dan pihak Kementerian terpaksa melaksanakan tindakan pembaikan di mana perlu syukur setakat ini, kita tidak pernah melaksanakan suatu tindakan tatatertib yang serius,” katanya.

Beliau juga mengingatkan bahawa mereka sedang dan sentiasa diperhatikan.

“Saya faham kadang-kadang ini amat tidak selesa tetapi masyarakat di luar sana mengharapkan perkhidmatan daripada kita. Apa lagi pada zaman moden ini, semua boleh diviralkan dengan mudah. Walau bagaimanapun, sekiranya kita melaksanakan tugas dengan penuh dedikasi dan berteraskan kepada integriti serta ketelusan saya rasa tidak ada apa yang perlu dirisaukan.

“Pastikan tugasan di daerah diselesaikan dan diberi perhatian sewajarnya. Dengan etika kerja yang baik, sikap dan pemikiran yang betul, perancangan dapat direalisasikan dengan mekanisma pelaksanaan yang berkesan dan mampu sampai kepada golongan sasar kita.

“Di zaman dunia moden ini kita perlu mengamalkan budaya kerja di luar kelaziman dan dengan pemikiran di luar kotak bagi mendapatkan hasil yang luar biasa. Kita perlu melatih diri untuk menjadi serba boleh, berkemahiran tinggi dan sebagai penjawat awam di zaman moden ini perlu berfikiran ke hadapan, bermotivasi dalam menyelesaikan masalah dan sentiasa positif serta optimis dalam apa jua keadaan di hadapan kita,” katanya.

Sementara itu, seramai lima warga kerja Kementerian menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2022 dan enam lagi menerima Anugerah Khas pada malam ini.

Mengucapkan tahniah kepada semua penerima, Dr. Joachim berharap ia akan dapat memberi suntikan semangat dan inspirasi kepada warga kerja yang lain.

“Semoga ini juga akan dapat membantu membentuk suatu ekosistem kerja yang cemerlang dan seterusnya memantapkan lagi sistem penyampaian perkhidmatan,” katanya, sambil turut merakamkan penghargaan kepada semua warga Kementerian yang telah dan akan bersara pada tahun ini.

Turut hadir, Pembantu Menteri I dan II, Datuk Isnin Aliasnih dan Datuk Mohamad Hamsan Ag. Supain; Setiausaha Tetap KKTP, Datuk Dr. Jamili Nais; Timbalan Setiausaha Tetap I dan II, Stanley Chong dan Faridah Giau; Pengurus Besar Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar, Rosemary Ahping; Pengarah Hal Ehwal Anak Negeri Sabah, Majaran Osman; Presiden Majlis Perbandaran Tawau, Joseph Pang; Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Wilayah Negeri Sabah, Augus Tamaning, Pegawai-pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Tempatan, Pegawai-pegawai Kanan Kementerian, kakitangan dan seluruh warga Kementerian.

RELATED ARTICLES
Utama

Kerajaan Semak Semula Arahan MKN No 20 Untuk Mantapkan Mekanisme Pengurusan...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya