Kaji semula kawasan pelaksanaan perintah berkurung dalam ESSZONE – Acryl

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 45 Second

KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) mencadangkan mengkaji semula kawasan pelaksanaan perintah berkurung dalam Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) termasuk mengecilkan lagi kawasan berkenaan di perairan daerah tertentu sahaja.

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata perkara tersebut dibincangkan dalam satu mesyuarat operasi Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah di Tawau Isnin lalu.

“Perkara ini sudah dibincangkan dan bagi tujuan itu, PDRM dan ESSCOM akan mencadangkan perintah berkurung diperkecil dan akan digantikan nama lain sebagai Perintah Kawalan Pergerakan ESSZONE untuk kawasan perairan di daerah tertentu.

“Sebagai permulaan, kita akan cadangkan perairan Tawau yang akan dikeluarkan daripada perintah berkurung di ESSZONE kerana kita yakin kawalan keselamatan di perairan daerah itu memuaskan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Perumahan Balai Polis Inanam di sini hari ini.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Ruji Ubi.

Acryl berkata, walaupun kes membabitkan culik untuk wang tebusan (KFR) di kawasan pantai timur Sabah tidak lagi berlaku namun pelaksanaan perintah berkurung tetap diperlukan.

“Saya percaya KFR tidak berlaku disebabkan kawalan keselamatan dan kewaspadaan tinggi daripada pasukan keselamatan negara.

“Inilah salah satu faktor utama sejak tiga tahun lalu tidak lagi berlaku kejadian membabitkan KFR.

“PDRM bagaimanapun tidak boleh mengurangkan tahap kewaspadaan keselamatan pada bila-bila masa, malah kita akan membuat kajian dan penilaian kawasan-kawasan di sana,” ujarnya.

Jsuteru, katanya, perintah berkurung berkuatkuasa di perairan Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran pada jarak tiga batu nautika ke atas bermula jam 6 petang hingga 6 pagi.

Menurut Acryl lagi, sebelum ini terdapat dua kawasan dikeluarkan daripada perintah berkurung iaitu Kudat dan Kota Marudu.

“Dua daerah itu dikecualikan dan sekarang ini kita membuat cadangan untuk mengecualikan perairan Tawau juga.

“Tetapi kawasan yang mana kita yakin masih lagi dikategorikan sebagai hotspot, kita akan kekalkan dulu dan menilai tahap risiko keselamatan dari semasa ke semasa.

“Buat masa ini, beberapa kawsan panas yang dikenal pasti adalah kawasan perairan Sandakan, Lahad Datu dan Semporna. Ini masih lagi dikategorikan berisiko tinggi kerana bentuk geografinya yang agak dekat dengan perairan negara jiran,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *