Peluang kem negara capai sasaran 40 emas hampir mustahil

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 31 Second

BERNAMA
Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

Phnom Penh: Peluang kontinjen negara untuk mencapai sasaran 40 pingat emas pada Sukan SEA 2023 secara realistik agak sukar sebelum temasya sukan dwitahunan itu melabuhkan tirai, Rabu ini (17 Mei).

Biarpun berbaki dua hari lagi, kesemua acara sukan yang dipertandingkan pada temasya kali ini akan berakhir hari ini bagi memberi laluan kepada upacara penutup pada Rabu.

Selepas berakhir saingan hari ke-10 pada Isnin, kem negara meraih 30 pingat emas, 42 perak dan 85 gangsa.

Pencapaian keseluruhan pingat itu juga menyaksikan kontinjen negara kekal berada di tempat ketujuh dan pastinya agak mustahil bagi memperbaiki kedudukan apabila Singapura yang berada di tangga keenam sudah mengutip 45 emas, 38 perak dan 57 gangsa.

Kedudukan di tempat ketujuh itu sesuatu yang membimbangkan kerana kontinjen negara sering berada di kedudukan lima teratas pada temasya Sukan SEA.

Malaysia hanya dua kali berada di tempat keenam iaitu pada edisi 1983 di Singapura dan Hanoi, Vietnam tahun lepas.

Pada saingan hari ini, kem taekwondo muncul penyelamat apabila menyumbangkan emas tunggal buat kontinjen negara pada hari ke-10 temasya, menerusi Muhammad Syafiq Zuber dalam kategori kyorugi lelaki bawah 80 kilogram (kg) sekali gus menghadiahkan pingat emas ke-30 Malaysia.

Esok, peluang kem negara bagi menambah pingat emas tertumpu kepada hoki yang menyaksikan kedua-dua pasukan lelaki dan wanita akan membuat perhitungan di final, acara sepak takraw antara regu, ping pong dan badminton.

Selain itu, Malaysia kini mengharapkan acara sukan lain yang bukan menjadi lubuk emas negara seperti dance sport, perlumbaan bot tradisional dan kick boxing dapat mencipta kejutan bagi menyumbangkan pingat emas kepada kem negara, hari ini.

Selepas tamat saingan hari ke-10, Vietnam hampir pasti muncul juara keseluruhan apabila mengutip 123 emas, 100 perak dan 97 gangsa, diikuti Thailand 94-76-93, manakala Indonesia di tempat ketiga dengan 74-66-92. – BERNAMA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *