Tukang cat kereta maut terkena renjatan elektrik

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 0 Second

KOTA KINABALU: Seorang lelaki maut dipercayai terkena renjatan elektrik di tempat kerjanya sebuah bengkel cat kereta di Kampung Sinulihan, Inanam dekat sini pada awal pagi Ahad (14 Mei).

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintenden Kalsom Idris berkata, mangsa yang berusia 39 tahun, bekerja sebagai tukang cat kereta telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang berada di lokasi kejadian pada jam 4.01 pagi.

Kalsom berkata, pada 14 Mei 2023 jam 4.12 pagi, Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu telah menerima panggilan telefon daripada seorang pengadu yang memaklumkan seorang lelaki telah terkena renjatan elektrik ditempat kerjanya di sebuah bengkel cat kereta di Kampung Sinulihan, Inanam.

“Menurut saksi iaitu rakan sekerja mangsa, semasa mangsa keluar
berehat di belakang bengkel, tiba-tiba saksi terdengar mangsa menjerit lalu saksi pergi ke belakang bengkel dan mendapati mangsa tengah berdiri sambil memegang besi pagar belakang kawasan bengkel.

“Saksi menarik mangsa dan merasa ada aliran arus elektrik, kemudiannya mangsa terus rebah dan tidak sedarkan diri,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Menurut Kalsom, pihak ambulan telah berada di lokasi dan telah buat pemeriksaan terhadap mangsa.

“Hasil pemeriksaan yang dilakukan oleh doktor, mangsa telah disahkan meninggal dunia pada jam 4.01 pagi,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *