HomeUtamaIsu air dan elektrik, lebih baik satu hati cari penyelesaian

Isu air dan elektrik, lebih baik satu hati cari penyelesaian

Read Time:1 Minute, 30 Second

Penampang : Para pemimpin di Sabah disaran supaya bersatu hati mencari jalan penyelesaian isu bekalan air dan elektrik di negeri ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, rakyat memerlukan kepimpinan yang tegas dan boleh mencari penyelesaian isu-isu rakyat bukannya mencari kesilapan atau kesalahan.

“Soal tunding menunding jari ini kita perlu hentikan, pada masa ini kita patut bersatu hati membantu rakyat yang berhadapan dengan masalah air dan elektrik. 

“Apa yang kita perlukan adalah peruntukan, bukan soal siapa silap dan siapa benarnya. Rakyat memerlukan kepimpinan yang boleh mencari penyelesaian masalah.

“Itu sebabnya wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) Sabah telah mengadakan satu sesi perjumpaan khas dengan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) meminta beliau menyediakan peruntukan tambahan yang besar kepada Sabah untuk membantu menyelesaikan masalah bekalan air dan elektrik serta jaringan jalan raya di Sabah.

“Saya memilih untuk mencari penyelesaian dan membawa rakan saya dalam PH mencari penyelesaian daripada kita tunding menunding kerana pendekatan tunding menunding jari tidak akan membawa penyelesaian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) “Bantu Sekolah” Yayasan Bank Rakyat (YBR) kepada semua sekolah dalam kawasan Parlimen Penampang, di Dewan SM St.Micheal Penampang, di sini, hari ini.

Ewon yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UKO) berkata, beliau juga telah membangkitkan perkara itu dalam mesyuarat kabinet yang lepas.

“Saya amat yakin, bila Perdana Menteri berkunjung ke Sabah dalam beberapa minggu ini, beliau akan mengumumkan sesuatu yang baik untuk Sabah terutamanya melibatkan peruntukan tambahan.

“Secara prinsipnya, Perdana Menteri telah bersetuju untuk menyediakan peruntukan tambahan kepada Sabah untuk menyelesaikan masalah seperti air, elektirk dan jaringan jalan raya,” katanya.

Selepas majlis itu, Ewon bersama pegawai kanan Yayasan Bank Rakyat (YBR) dan pemimpin masyarakat melawat seterusnya menyampaikan sumbangan YBR berupa kerusi roda boleh laras kepada seorang penduduk di Kg.Penampang Proper. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Tiada kompromi 40 peratus, pertahankan hak perlembagaan Negeri Sabah – Hajiji

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular