HomeEkonomiKerajaan komited tambah baik, perkasa ekosistem dan lanskap pelaburan negara

Kerajaan komited tambah baik, perkasa ekosistem dan lanskap pelaburan negara

Read Time:2 Minute, 15 Second

KUALA LUMPUR — KERAJAAN komited untuk menambah baik dan memperkasa ekosistem serta lanskap pelaburan negara, bagi meningkat dan mengekalkan pelaburan langsung asing (FDI) serta pelaburan langsung domestik (DDI).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Mesyuarat Majlis Pelaburan Negara (MPN) bersetuju menambah baik ekosistem Agensi Penggalakan Pelaburan (IPA) negara dengan melaksanakan inisiatif bagi menyelaras fungsi dan peranan koridor ekonomi wilayah berkaitan pelaburan.

“Langkah itu amat penting bagi memastikan pendekatan menyeluruh kerajaan termasuk aktiviti penggalakan pelaburan negara secara lebih tersusun, cekap dan teratur.

“Ia akan memastikan Malaysia dapat mengoptimumkan sumber sedia ada bagi mengatasi isu pertindihan tanggungjawab di antara IPA sekali gus menjamin penyampaian perkhidmatan yang lebih berkesan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menambah, tadbir urus IPA juga adalah faktor penting bagi pelabur membuat keputusan dan menilai Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan. 

Jelas Anwar, MPN berperanan sebagai badan eksekutif tertinggi dalam merencanakan agenda berkaitan pelaburan sekali gus memastikan tadbir urus pelaburan negara diperkasakan.

“MPN turut bertanggungjawab menangani isu dan cabaran utama dalam pelaksanaan projek pelaburan terutama yang membabitkan pelaburan strategik dan berimpak tinggi bagi memastikan kelancaran pelaksanaan projek berkenaan,” tambahnya.

Anwar menambah, kerajaan juga amat komited untuk menambah baik dan memperkasakan ekosistem serta lanskap pelaburan negara bagi meningkat dan mengekalkan pelaburan langsung asing (FDI) dan domestik (DDI).

“Dalam usaha untuk menyelaras aktiviti penggalakan pelaburan dengan lebih berkesan dan meningkatkan keupayaan IPA dari segi keutamaan strategik, fungsi, sumber manusia, ciri organisasi dan dasar tadbir urus, penyusunan semula ekosistem IPA negara akan dimulakan dengan pelan penyelarasan fungsi dan peranan IPA secara berfasa.

“Justeru, MPN bersetuju untuk memperkasakan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sebagai agensi penggalakan pelaburan utama negara.

“Tambahan lagi, pengukuhan fungsi penyelenggaraan akaun dan pemantauan oleh IPA serta pemusatan pelaporan maklumat terkini pelaburan di bawah satu platform atau dashboard tunggal juga akan menangani isu-isu pelabur secara tangkas serta menyokong penggubalan dasar untuk pembangunan industri, insentif galakan pelaburan dan memudahcara perjalanan pelabur serta fasilitasi pelaburan yang berkesan,” katanya lagi.

Anwar berkata mesyuarat MPN turut membincangkan mengenai pemantauan projek-projek pelaburan khususnya hasil potensi pelaburan menerusi program Misi Penggalakan Perdagangan dan Pelaburan.

Katanya, ia akan diketuai beliau sendiri dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Katanya, jumlah pelaburan yang diluluskan dalam pelbagai sektor ekonomi bagi Suku Pertama2023 adalah RM71.4 bilion, iaitu peningkatan sebanyak 59.7 peratus berbanding dengan suku pertama pada 2022 iaitu RM44.7 bilion.

Ia merangkumi 1,265 projek yang berpotensi menjana hampir 24,000 pekerjaan bagi rakyat Malaysia.

Sehubungan itu, Anwar berkata, MPN dijadualkan bersidang sekurang-kurangnya empat kali setahun supaya setiap inisiatif dan program pelaburan dapat dipantau dan dinilai keberkesanannya.

“Kerajaan komited untuk memastikan setiap pelaburan yang diluluskan akan dilaksanakan, seterusnya memberi impak positif kepada pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

RELATED ARTICLES
EkonomiUtama

U Mobile lancar kedai pertama di Sabah, perkukuh kehadirannya di Malaysia...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya