Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Kota Kinabalu : Kerajaan Sabah amat memahami masalah dihadapi rakyat khususnya yang berkaitan dengan isu air yang hangat dilaporkan di negeri ni.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Kerajaan negeri sentiasa berusaha untuk menangani isu berkenaan yang dilihat serius dan perlu ditangani secara tuntas.
“Kekurangan bekalan air dan gangguan yang kerap adalah isu yang sudah diwarisi oleh setiap pentadbiran kerajaan negeri yang terdahulu.
“Air adalah salah satu keperluan asas dan apa-apa gangguan serta kekurangan secara kerap, termasuk gangguan bekalan elektrik dan catuan yang tidak menentu akan membebankan bukan sahaja rakyat tetapi juga sektor perniagaan.
“Ini juga akan menjejaskan usaha kita untuk menarik pelaburan ke Sabah,” katanya ketika berucap sempena Majlis Ulang Tahun ke-30 Jetama Sdn Bhd dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri di sini semalam.
Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.
Hajiji berkata, adalah penting untuk pelbagai pihak segera menyelesaikan masalah ini kerana isu bekalan air dan elektrik ini adalah masalah bersama dan keperluan rakyat mesti diutamakan.
“Saya mahu Jetama dan pasukannya bertindak secara proaktif meningkatkan potensi diri untuk seiring dengan permintaan semasa yang lebih mencabar.
“Seiring dengan ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan baru baru ini, beliau berjanji untuk menyelesaikan masalah air pada tahun ini.
“Dalam hal ini, saya mahu Jetama membantu Kerajaan Negeri mengutarakan beberapa cadangan untuk dibawa kepada Perdana Menteri berkaitan masalah air di Sabah supaya tindakan segera dapat diambil untuk penyelesaian,”katanya.
Dalam pada itu, Hajiji berkata, Kerajaan Negeri mengalu-alukan komitmen Kerajaan Persekutuan untuk membantu dalam menyelesaikan isu bekalan air Sabah.
“Kerajaan Negeri juga sedang melaksanakan rancangan sendiri untuk menangani masalah air, dan usaha pihak Persekutuan untuk memberikan bantuan, saya percaya masalah itu dapat diselesaikan dengan cepat.
“Saya juga percaya dengan kerjasama padu antara kerajaan negeri, Jetama dan pihak lain yang relevan, kita pasti akan dapat mencari penamat bagi masalah air di negeri ini.
“Kerajaan memandang serius masalah bekalan air di Sabah dan berharap ia dapat ditangani dengan segera dan kekal,” katanya. – SABAH MEDIA