HomeUtamaMerancang pencen awal, buat rumah dan menetap di kampung - Allahyarham...

Merancang pencen awal, buat rumah dan menetap di kampung – Allahyarham Awang Askandar

Read Time:2 Minute, 53 Second

PAPAR: Dia ada cakap dia merancang untuk berpencen awal, mahu buat rumah di kampung dan menetap di kampung, itu ialah perbualan terakhir Awang Asim Ampuan Yaacub, 57, dengan adiknya Lt Kol Awang Askandar Ampuan Yaacub pada 7 Mei lalu.

Awang Askandar, 56, merupakan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, anak kelahiran Kampung Benoni, Papar, Sabah yang dikhabarkan telah meninggal dunia ketika misi pendakian Gunung Everest, Himalaya semalam (19 Mei).

Awang Asim berkata, perbualan terakhirnya pada ketika itu menerusi satu panggilan video, beliau melihat Awang Askandar tidak ceria dan dalam keadaan kepenatan.

“Saya tengok dia tidak ceria dan saya faham dia dalam kepenatan disebabkan ekpedisi itu. Ini merupakan percubaan kali kedua pendakian ke puncak Everest selepas pendakian pertama pada tahun lalu tidak berjaya kerana keadaan tidak mengizinkan.

“Dia ada bertanyakan khabar keluarga di kampung dan kami juga mendoakan atas kejayaannya dalam ekspedisi tersebut.

“Masa kali terakhir perbualan kami, dia (Awang Askandar) ada cakap dia merancang untuk berpencen awal, mahu buat rumah di kampung dan menetap di kampung,” kata Awang Asim semasa ditemui pemberita di kediaman keluarga mereka di Kampung Benoni, dekat sini hari ini.

Menurut Awang Asim, beliau sangat terkejut dan sedih sebaik mendapat panggilan telefon dari isteri Awang Askandar pada jam 5.30 petang semalam memberitahu berita pemergian adiknya (Awang Askandar) buat selama-lamanya.

Katanya, kali terakhir bertemu adiknya pada 31 Disember tahun lalu semasa menghadiri satu majlis perkahwinan, adiknya bercuti di kampung selama dua minggu.

Awang Asim berkata, Awang Askandar adalah anak bongsu dari tujuh orang adik beradik.

“Beliau (Awang Askandar) merupakan seorang yang sangat meminati sukan lasak seperti sukan payung terjun, skuba dan mendaki gunung.

“Beliau juga berhasrat ingin menjadi rakyat Sabah yang pertama sampai ke puncak Everest dan menjadi motivasi kepada generasi muda khususnya di negeri Sabah di atas kejayaannya.

“Selain itu beliau juga seorang yang sangat rendah diri, prihatin dan menghormati orang tua dan juga orang muda,” tambahnya.

Menurutnya lagi, sebelum berkhidmat di Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, selepas menamatkan persekolahan, Awang Askandar berkhidmat sebagai anggota tentera udara dan selepas tamat kontrak, beliau menyambung pembelajaran, berkhidmat sebagai guru dan seterusnya menjadi pensyarah di sebuah kolej swasta serta pernah menjadi pegawai di Biro Tatanegara (BTN) dan jawatan terkini dan terakhir beliau ialah sebagai Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah.

Mengenai perkembangan terkini, Awang Asim berkata, beliau dimaklumkan dari pihak pengurusan di Kathmandu, jenazah adiknya kini dalam proses menurunkan dari Base Camp 4 ke Base Camp 3.

“Kita kena tunggu, saya difahamkan kalau cuaca baik barulah jenazahnya diambil dari Base Camp dan dihantar ke hospital untuk proses bedah siasat seterusnya barulah ke Malaysia dalam lima atau enam hari lagi, sekiranya tiada halangan.

“Timbalan Menteri Luar Negeri Datuk Mohamad Alamin juga turut membantu dan sedang berusaha mengurus untuk membawa pulang jenazah Awang Askandar ke tanah air,” katanya.

Allahyarham Awang Askandar meninggalkan seorang balu yang juga berasal dari Sabah iaitu Kampung Luanti, Ranau dan dikurniakan enam orang cahaya mata terdiri daripada lima perempuan, seorang lelaki berusia antara dua hingga 12 tahun.

Semalam, Awang Askandar dikhabarkan meninggal dunia pada 10.30 pagi waktu Nepal (12.45 tengah hari waktu Malaysia) selepas terjatuh pada ketinggian 8,000 meter dari aras laut.

Ketua Misi Malaysia Everest 2023 (ME 2023), Azim Afif Ishak,35, berkata, ketika kejadian Allahyarham bersama Muhammad Hawari Hashim, 33, sedang melakukan pendakian dan hanya memerlukan kira-kira 20 minit untuk sampai ke puncak.

Azim berkata, selepas jatuh, Allahyarham dibawa ke Base Camp 4 dengan bantuan malim gunung untuk diberikan rawatan dan meninggal dunia pada pagi semalam.

RELATED ARTICLES
Utama

Jabatan Perhutanan perlu terus tingkatkan kutipan hasil hutan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya