Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Kota Kinabalu : Lebih 600 pengunjung hadir memeriahkan sambutan rumah terbuka Aidilfitri – Kaamatan keluarga Tunas Akademi Bola Sepak (TABS) Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) Bandaraya yang diadakan di perkarangan padang TABS berhampiran padang SUKMA di sini, semalam.
Hadir sama pada majlis itu Ketua Pegawai Eksekutif Sabah FC, Ahmad Marzuki Nasir, Setiausaha Eksekutif SAFA David Wisom, penasihat TABS SAFA Bandaraya, Alijus Sipil, pengerusi TABS, Sulaiman Mohd Noor, Pengarah Teknikal Sabah FC, Scott Ollerenshaw, Presiden Persatuan Bekas Pemain-Pemain Sabah, Datuk James Wong dan para jurulatih tempatan.
Pengerusi penganjur, Lokman Sunggim berkata, pihaknya mengalu-alukan dan berterima kasih atas kehadiran pengunjung termasuk daripada kalangan yang terlibat dalam industri sukan sekali pun majlis itu diadakan pada penghujung bulan Syawal.
Katanya, konsep rumah terbuka sedemikian merupakan salah satu platform untuk mewujudkan suasana harmoni dan mengeratkan hubungan siratulrahim.
Menurut beliau, majlis itu juga bagi memeriahkan suasana perayaan Pesta Kaamatan pada akhir bulan ini dan berharap mereka yang menyambut perayaan itu gembira merayakannya.
“Sambutan Aidilfitri biasanya akan mereka adakan setiap tahun dan mudah-mudahan rumah terbuka aidilfitri ini akan dapat diadakan lagi pada tahun depan,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi TABS SAFA Bandaraya menjelaskan pihaknya sangat berterima kasih atas kerjasama dan komitmen yang diberikan ibu bapa pelatih untuk menjayakan majlis tersebut.
Tambahnya, dengan ada persefahaman dan kerjasama yang penuh kalangan ibu bapa memudahkan pelaksanaan program seumpama itu.
“Anda semua memang terbaik. Apa juga program yang kita rancang dan anjurkan, anda semua sentiasa ada di belakang, tabik untuk anda semua,” katanya.
Mengenai program pembangunan bola sepak TABS Safa Bandaraya, Lokman berkata, pengurusan TABS sentiasa berusaha merancang dan meningkatkan kualiti program tersebut dari semasa ke semasa.
Katanya, unit kejurulatihan TABS yang diketuai jurulatih Matasan Ahmad dan penolongnya Roslan Wasli terus memberi komitmen penuh mereka bagi memastikan program yang dikendalikan memberi impak selari dengan perkembangan sukan bola sepak di Sabah.
“Sehingga ini, kita mempunyai hampir 30 jurulatih yang bertauliah untuk mengendalikan program pembangunan ini,” katanya. – SABAH MEDIA