HomeUtamaKerajaan Negeri cadang peruntukan Persekutuan disalurkan kepada satu Akaun Amanah

Kerajaan Negeri cadang peruntukan Persekutuan disalurkan kepada satu Akaun Amanah

Read Time:2 Minute, 35 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri mencadangkan agar Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan supaya peruntukan Persekutuan dapat disalurkan kepada satu Akaun Amanah bagi memastikan peruntukan tersebut tidak luput sekiranya tidak dapat dibelanjakan pada tahun semasa.

“Kerajaan Negeri akan memantau agar peruntukan dalam Akaun Amanah tersebut digunakan secara efisien mengikut maksud pemberian peruntukan tersebut,” kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor semasa sesi soal jawab persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-16 di DUN Sabah di sini, hari ini.

Hajiji berkata demikian semasa menjawab soalan yang dikemukakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Dorell Leiking apakah langkah-langkah yang diambil oleh Kerajaan Negeri Sabah dalam memastikan peruntukan dari kerajaan persekutuan dapat dibelanjakan dengan sepenuhnya memandangkan peruntukan yang dikembalikan pada tahun 2022 amatlah besar.

Hajiji berkata, Sabah telah diperuntukkan sebanyak RM5.709 bilion di bawah peruntukan pembangunan daripada Kerajaan Persekutuan. Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM4.457 bilion telah dibelanjakan, manakala sebanyak RM1.252 bilion tidak dapat dibelanjakan disebabkan isu-isu pelaksanaan antaranya isu kontraktor – Kontraktor dilantik tidak mempunyai kapasiti kewangan mencukupi atau kredit kewangan; Tenaga kerja; dan Kelemahan pengurusan projek.

“Selain isu Utiliti – Kelewatan dokumentasi untuk penyambungan utiliti; Kelewatan/ karenah birokrasi syarikat utiliti; dan Pemetaan utiliti (utility mapping) dalam tanah (sub-terranean) dan di bawah permukaan (sub-surface) sukar dikesan.

“Isu tanah – Proses pengambilan balik tanah yang terganggu; Bantahan dari pemilik tanah berdekatan lokasi cadangan untuk pembangunan/kegunaan didapati kurang sesuai; Keadaan topografi yang sukar; dan Ruang/ laluan masuk ke tapak tiada atau terdapat halangan.

“Isu Pengurusan – Arahan berhenti kerja (stop work order) oleh Pegawai Penguasa; Kesukaran mendapat bahan bekalan binaan; dan Harga bahan di pasaran naik dan isu Agensi pelaksana – Kelewatan menyemak serta meluluskan Variation Order (VO); Kelewatan bayaran kepada perunding/ kontraktor dan pembekal; Kelewatan menyemak dan meluluskan lanjutan masa atau Extension of Time (EOT),”jelasnya.

Menurut Hajiji, Kerajaan Negeri sentiasa mengambil langkah yang proaktif dalam menangani perkara-perkara tersebut. Antaranya, dengan memastikan kebolehlaksanaan sesuatu projek yang dipohon untuk pelaksanaan adalah tinggi pada tahun semasa dan tahun-tahun berikutnya.

“Kerajaan Negeri juga akan memastikan semua permohonan projek kepada Kerajaan Persekutuan perlu mendapat perakuan daripada Kerajaan Negeri terlebih dahulu, seperti yang telah termaktub dalam Garis Panduan Penyediaan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas (KSP RMK12) dan Permohonan Projek Pembangunan Tahun 2024-2025 Biayaan Persekutuan. Ini adalah untuk memastikan perancangan adalah mengikut keperluan negeri dan pelaksanaan projek disiapkan dalam tempoh yang telah ditetapkan,” katanya.

Bagi memastikan pelaksanaan projek-projek pembangunan Persekutuan dilaksanakan seperti yang dirancang, Hajiji berkata, usaha-usaha pemantauan dijalankan secara berterusan oleh Kerajaan Negeri dengan kerjasama Pejabat Pembangunan Negeri Sabah (SDO).

“Antaranya melalui Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) Sabah yang berperanan dalam memantau dan membincangkan isu-isu pelaksanaan projek pembangunan Persekutuan di negeri Sabah. Selain itu, Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Negeri (JTPNg) Sabah juga ditubuhkan bagi memastikan keputusan mesyuarat MTPNg dilaksanakan sepenuhnya di peringkat negeri.

“Di samping itu, pemerkasaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah melalui pengiktirafan jabatan tersebut sebagai Jabatan Teknik di bawah Arahan Perbendaharaan (AP 182) oleh Kerajaan Persekutuan serta penambahan pegawai-pegawai teknikal baharu juga merupakan antara inisiatif penting yang membantu Kerajaan Negeri dalam merancang dan melaksanakan projek pembangunan negeri dengan lebih efisien,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Sistem air minuman secara mudah alih, berkuasa solar berjaya dibangunkan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular