PUTRAJAYA — Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia akan mengambil langkah proaktif untuk menangani gejala Islamofobia yang membarah di negara luar.
Justeru, Perdana Menteri berkata, adalah penting untuk diketengahkan faham yang lebih sederhana, serta membudayakan adab al-Ikhtilaf dalam menyikapi perbedaan pandangan.
“Menyingkap soal fahaman agama yang melampau, tentunya ini berpangkal pada soal pendidikan, dan bagaimana masyarakat kita dididik dan diasuh.
“Sering diingatkan bahawa sayugia kita menjadi pendakwah dan bukan penghukum,” katanya menerusi Facebook.
Pada hantaran itu, Anwar memaklumkan beliau dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail meraikan ulama terkenal Zimbabwe Dr Mufti Ismail Menk, Syeikh Muhammad Salah dari Huda TV, Amerika Syarikat dan Syeikh Wael Ibrahim dari The Aware Academy, Australia di Putrajaya.
“Saya terharu dengan rasa senang dan nyaman Mufti Menk dan rombongannya sepanjang keberadaan mereka di Malaysia. Beliau berhasrat untuk kembali dengan lebih kerap ke sini.
“Saya nyatakan bahawa pintu kita sentiasa terbuka dan mudah-mudahan negara tercinta ini sentiasa mendapat limpahan berkat dari Allah SWT,” jelasnya.
Anwar menambah, beliau serta tetamu yang hadir berpeluang beramah mesra dan bermuzakarah bersama Ismail Menk menyentuh beberapa ittijahat (jalur pemikiran) umat semasa.
“Turut disingkap ialah persoalan Adab al-Ikhtilaf serta kepentingan mewacanakannya seperti yang dikupas secara tuntas oleh Almarhum Shaykh Taha Jabir Alwani,” katanya.