HomeUtamaPM terima kunjungan hormat Putera Mahkota Abu Dhabi

PM terima kunjungan hormat Putera Mahkota Abu Dhabi

Read Time:1 Minute, 18 Second

PARLIMEN — Putera Mahkota Abu Dhabi, yang juga Pengerusi Majlis Eksekutif Abu Dhabi, Sheikh Khaled bin Mohamed bin Zayed Al Nahyan telah mengadakan kunjung hormat terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen, petang semalam.

Perdana Menteri telah memaklumkan pertemuan yang membincangkan pelbagai perkara membabitkan kepentingan bersama antara kedua-dua negara menerusi hantaran di Facebooknya.

“Kami membincangkan pelbagai perkara yang menjadi kepentingan bersama antaranya merangkumi hubungan dua hala, serantau dan antarabangsa.

“Semoga hubungan baik antara kedua-dua negara akan terus diperkasa, InsyaAllah,” katanya.
Terdahulu, keberangkatan tiba baginda di bangunan Dewan Persidangan Sementara Parlimen pada 5 petang disambut Perdana Menteri yang diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Pertemuan tersebut diadakan sempena lawatan khas dan yang pertama Sheikh Khaled ke Malaysia sejak baginda ditabal sebagai Putera Mahkota Abu Dhabi dan dilantik sebagai Pengerusi Majlis Eksekutif Abu Dhabi pada 29 Mac lalu.

Lawatan khas Sheikh Khaled dijangka mengukuhkan lagi hubungan baik yang terjalin sejak sekian lama antara Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang telah dinaik taraf kepada Perkongsian Strategik pada 27 September 2022.

Sheikh Khaled yang berangkat tiba di Malaysia kelmarin, dijadual menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, hari ini.

UAE merupakan rakan dagangan kedua terbesar Malaysia, destinasi eksport kedua terbesar dan destinasi import kedua terbesar dari rantau Asia Barat.

Pada 2022, jumlah dagangan Malaysia dengan UAE meningkat sebanyak 73.5 peratus kepada RM38.73 bilion berbanding RM22.33 bilion bagi tahun sebelumnya.

RELATED ARTICLES
Utama

102 KIR terjejas banjir di Penampang terima sumbangan Perdana Menteri

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular