HomeUtamaDUN Sabah : Sabah mampu peroleh pelbagai faedah dalam rantaian bekalan huluan...

DUN Sabah : Sabah mampu peroleh pelbagai faedah dalam rantaian bekalan huluan industri minyak dan gas

Read Time:2 Minute, 11 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

Kota Kinabalu : Penglibatan Kerajaan Negeri dalam rantaian bekalan huluan industri minyak dan gas adalah penting bagi memperoleh pelbagai faedah khususnya ekonomi dan kewangan hasil selain meningkatkan peluang pekerjaan.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, penjualan kedua-dua minyak mentah dan gas asli yang merupakan sumber rantaian nilai industri mintak dan gas mampu meningkatkan faedah ekonomi dan kewangan hasil.

“Selain itu, Kerajaan Negeri juga akan dapat meningkatkan kadar peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan Sabah dan menggalakkan lebih banyak tawaran serta peluang kontrak tempatan dengan memperoleh persefahaman dalam perniagaan huluan.

“Kerajaan juga akan dapat meningkatkan lagi tahap pengetahuan rakyat Sabah dalam sumber minyak dan gas, serta ilmu pengumpulan data rizab hidrokarbon Sabah yang sedia ada atau yang akan datang.

“Ini adalah bagi memastikan sebarang keputusan dibuat yang berkaitan dengan industri minyak dan gas adalah untuk kepentingan negeri Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan Jabatan Ketua Menteri pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.

Hajiji berkata, oleh kerana itulah Kerajaan Negeri meneruskan pengambilalihan 50 peratus saham dalam Kontrak Perkongsian Pengeluaran Samarang (PSC) yang ditawarkan kepada SMJ Sdn. Bhd. di bawah Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) yang telah ditandatangani bersama dengan Petronas.

“Hasilnya, SMJ Sdn. Bhd. akan menerima 50 peratus rakan kongsi kelayakan pengeluaran minyak dan gas.

“Bagi petrokimia hiliran, Kerajaan Negeri telahpun memperoleh 25 peratus  saham dalam Petronas Chemicals Fertilizer Sabah Sdn. Bhd. (SAMUR) melalui SMJ Sdn. Bhd. yang merupakan pemilik kilang Ammonia/ Urea yang terletak di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP).

“Ia merupakan fasiliti pengeluar ammonia dan urea bertaraf dunia dan dibina untuk menghasilkan 1.9 juta tan metrik ammonia dan urea setahun. Ia juga merupakan komponen loji ammonia dan urea tunggal terbesar di Asia Tenggara, dan loji urea ketiga terbesar Asia Pasifik,”katanya.

Dalam pada itu, Hajiji berkata, Kerajaan Negeri akan meneruskan lebih banyak pengambilalihan pada masa hadapan agar dapat mengembangkan lagi penglibatan Sabah di dalam industri minyak dan gas.

Katanya, ini adalah bagi membolehkan lebih banyak hasil dan penyertaan dapat dicapai untuk negeri Sabah seperti yang telah diperuntukkan dalam CCA.

“Mengenai dengan Cukai Jualan Negeri (SST) ke atas Produk Petroleum, pencapaian demi pencapaian telah kita kecapi dalam industri minyak dan gas.

“Kutipan cukai jualan negeri ke atas produk petroleum yang telah menyumbang sejumlah RM4.21 bilion ke atas hasil negeri. Maka, Kerajaan Negeri tidak mempunyai perancangan dalam masa terdekat untuk menghentikan pelaksanaan cukai jualan negeri ke atas produk petroleum.

“Hasil daripada industri minyak dan gas mampu melipatgandakan pendapatan negeri agar lebih meningkat, kukuh dan mampan yang sudah pasti akan dinikmati oleh semua lapisan rakyat di negeri ini,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Sentiasa peka dengan perubahan cuaca

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular