Jenazah Allahyarham Ag Askandar tiba di KKIA, disambut penuh istiadat APM Sabah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 19 Second

KOTA.KINABALU: Jenazah pendaki Malaysia Everest 2023 (ME2023), Allahyarham Leftenan Kolonel Ag Askandar Ampuan Yaacub, 56, tiba di MAS Kargo, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada 2.05 petang tadi (27 Mei).

Allahyarham Ag Askandar yang juga Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah diterbangkan menggunakan pesawat Malaysia Airlines dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menerusi penerbangan MH 2646.

Ketibaan jenazah Allahyarham disambut dengan upacara penuh istiadat APM, beberapa tetamu kenamaan, pegawai dan anggota Angkatan Pertahanan Awam Sabah serta ahli keluarga Allahyarham.

Ag Asim Ampuan Yaacub (kanan) mengiringi jenazah adiknya Ag Askandar di dalam kenderaan jenazah untuk dibawa pulang ke kampung halaman mereka dan seterusnya upacara pengebumian petang ini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali, Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin, bekas Menteri Luar, Senator Datuk Seri Anifah Aman dan Ketua Pesuruhjaya APM, Aminurrahim Mohamed.

Jenazah kemudiannya terus di usung masuk ke dalam kenderaan jenazah untuk dibawa pulang ke kediaman Allahyarham bertempat di Kampung Benoni, Papar untuk penghormatan terakhir dari ahli keluarga dan kemudiannya ke Masjid Jamek As-Salam Benoni untuk solat jenazah.

Anak ketiga Ag Askandar, Ameera Hana, 8, menyiram air dan menabur bunga di pusara ayahnya selepas upacara pengebumian di tanah perkuburan Islam di Kg Benoni.

Jenazah Allahyarham Ag Askandar selamat dikebumikan bersebelahan dengan pusara ibunya Allahyarhamah Dg Fatimah Ag Ampuan Jair di tanah perkuburan orang-orang Islam di Kampung Benoni, Papar pada jam 5.20 petang tadi.

Allahyarham meninggalkan seorang balu bernama Siti Hafizah Abdul Hamid, 36, dan enam orang anak berumur antara dua hingga 12 tahun.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *