Pendekatan menyeluruh, bersepadu bangunkan Sabah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 16 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

Penampang: Kerajaan Negeri akan terus menggunakan pendekatan menyeluruh dan bersepadu dalam usaha merancang dan melaksanakan pembangunan demi kesejahteraan rakyat di Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, sokongan padu yang berterusan daripada rakyat kepada Kerajaan negeri adalah penting bagi memastikan setiap pelaksanaan program pembangunan yang dirancang melalui Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.  

Hajiji ketika menyampaikan ucapan perasmian pada majlis itu di Dewan Hongkod Koisaan – PIX MAHA

“Sebagai Ketua Menteri, bersama Jemaah Kabinet Negeri dan pentadbiran kerajaan, saya berikrar dengan penuh komitmen untuk membawa Sabah mara ke hadapan menuju pembangunan yang holistik sesuai dengan tekad dan wawasan yang terkandung di dalam dasar Hala Tuju SMJ. 

“Alhamdulillah, dengan mandat serta sokongan padu rakyat kepada Kerajaan Negeri, kita kini berada di landasan yang tepat untuk meneruskan pentadbiran dalam memulihkan ekonomi dan memajukan negeri,”katanya. 

Antara persembahan yang dipersembahkan pada majlis itu- PIX MAHA

Beliau berkata demikian ketika merasmikan sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah Tahun 2023 di Dewan Hongkod Koisaan Persatuan Kadazan Dusun Sabah (KDCA) di sini hari ini. 

Hajiji berkata, komitmen yang ditunjukkan oleh kerajaan dalam menganjurkan perayaan seperti Pesta Kaamatan membuktikan kerajaan komited dalam menjayakan setiap usaha yang menjurus kepada pemantapan seni dan budaya di negeri ini.  

Antara persembahan yang dipersembahkan pada majlis itu- PIX MAHA

Beliau berharap perayaan itu akan terus memberikan impak dalam usaha kerajaan mengeratkan hubungan silaturahim dan mengukuhkan lagi semangat perpaduan.  

“Ini sekali gus mampu mewujudkan kehidupan yang lebih harmoni dalam kalangan rakyat pelbagai etnik dan agama di negeri ini, “katanya.

Sementara itu, Hajiji berkata, kehadiran pelbagai lapisan rakyat, termasuk para pelancong jelas membuktikan menerusi Pesta Kaamatan, semangat persaudaraan, persahabatan, kekitaan dan perpaduan bukan sahaja dapat terus disemai, malah dapat digilap dan diperkukuh demi keharmonian dan kesejahteraan seluruh rakyat.   

Antara persembahan yang dipersembahkan pada majlis itu- PIX MAHA

“Sesungguhnya budaya dan tradisi suku kaum itu sangat penting dalam usaha kita menyatupadukan rakyat ke arah hidup yang lebih bermakna dan progresif. 

“Justeru menerusi Pesta Kaamatan ini, marilah kita memanfaatkan sepenuhnya kekuatan tradisi bangsa dari semua suku kaum, agar tali persaudaraan dan perpaduan yang sedia wujud dapat terus dipelihara dan diperkukuhkan demi masa hadapan,”katanya.

Dalam pada itu, Hajiji berharap perayaan yang mengangkat budaya bangsa dan adat resam itu akan terus dipertahankan, dipelihara dan dijaga agar tidak luput ditelan zaman. 

Katanya, menerusi Pesta Kaamatan, ia  mampu membentuk identiti generasi Kadazan Dusun Murut dan Rungus yang mempunyai semangat jati diri yang tinggi dengan nilai-nilai patriotisma, prihatin, toleransi dan saling hormat-menghormati di antara rakyat berbilang kaum.   

“Semuanya adalah ramuan bagi melahirkan anggota masyarakat yang bermaruah dan berjiwa besar,”katanya. – SABAH MEDIA.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *