HomeIsu tempatanCipta Kalender Kaamatan menarik mempromosi sambutan perayaan berskala kecil di kampung...

Cipta Kalender Kaamatan menarik mempromosi sambutan perayaan berskala kecil di kampung luar bandar – Joniston

Read Time:1 Minute, 57 Second

KIULU: Daerah-daerah di negeri ini disaran mencipta satu Kalender Kaamatan yang menarik dan menyeluruh bagi mempromosikan perayaan Pesta Kaamatan berskala kecil khususnya di perkampungan luar bandar Sabah.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Joniston Bangkuai berkata, inisiatif seumpama itu akan membuka permata tersembunyi perayaan berskala kecil di perkampungan luar bandar yang indah, sekaligus membolehkan pelancong berpeluang merasai perayaan Pesta Kaamatan yang meriah jika mereka melancong ke destinasi luar bandar.

Beliau berkata usaha sama itu perlu melibatkan wakil dari setiap daerah yang bekerjasama rapat dengan masyarakat setempat dan ketua kampung untuk mengumpul maklumat tepat mengenai perayaan Kaamatan, seperti tarikh, lokasi, aktiviti kebudayaan tertentu dan persembahan yang berlangsung di setiap kampung.

“Kalendar itu harus disediakan kepada pelancong dan agensi pelancongan supaya mereka boleh merancang jadual perjalanan semasa sambutan Kaamatan selama sebulan pada Mei dengan sebaik-baiknya dan memilih untuk melawat kampung yang selaras dengan minat dan pengalaman yang mereka inginkan.

“Dengan adanya kalendar yang ditetapkan akan memudahkan Lembaga Pelancongan Sabah (STB) untuk membantu dalam usaha promosi,” katanya pada perasmian Sambutan Kaamatan di Kampung Ponohuon di sini pada Isnin (29 Mei).

Joniston, yang juga pengerusi STB, berkata kalendar Pesta Kaamatan ini akan menyumbang kepada pengagihan peluang pelancongan yang saksama di seluruh daerah Sabah.

Beliau menjelaskan bandar yang lebih besar sering mendapat perhatian lebih manakala kampung dan kawasan luar bandar yang lebih kecil terlepas pandang.

“Dengan mempamerkan sambutan Kaamatan di kampung yang berbeza, kalendar itu bertujuan untuk mempromosikan landskap pelancongan yang lebih inklusif dan seimbang, menggalakkan pengunjung menerokai kawasan yang kurang dikenali sekaligus menyokong ekonomi tempatan.

“Inisiatif ini juga selari dengan matlamat pelancongan mampan negeri, memastikan manfaat ekonomi pelancongan sampai ke seluruh pelusuk Sabah,” tambahnya.

Sementara itu, Joniston turut menghadiri Moginakan iaitu Majlis Reunion untuk keluarga Kadazandusun di beberapa rumah berbeza di Kampung Tiong Tomburung.

Menurut ketua kampung Tiong Tomburung SipinSikui, Moginakan biasanya disambut selama dua hari bermula 30 Mei sempena sambutan Kaamatan tetapi boleh berlanjutan sehingga seminggu.

“Sudah tiba masanya untuk saudara-mara jauh pulang ke kampung halaman dan mengeratkan kembali ikatan persaudaraan yang telah menyatukan keluarga selama ini dan memastikan ia tidak akan terputus.

“Kami akan bergilir-gilir melawat rumah semasa perjumpaan semula ini, dan Tiong Tomburung mempunyai lebih 20 rumah,” katanya, sambil menambah bahawa mereka perlu menunggu tujuh tahun lagi sebelum ia boleh menganjurkan Moginakan untuk membuka laluan ke enam kampung lain di bawah naungan Tiong.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Lapan finalis berentap dalam kategori remaja MTHQ

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya