HomeUtamaRumah kebudayaan KDCA ‘buka pintu’ terima kunjungan Perdana Menteri

Rumah kebudayaan KDCA ‘buka pintu’ terima kunjungan Perdana Menteri

Read Time:1 Minute, 39 Second

PENAMPANG: Kunjungan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke sambutan Pesta Kaamatan buat julung-julung kali amat dinantikan.

Anwar merupakan Perdana Menteri kedua yang menghadiri dan memeriahkan sambutan Pesta Kaamatan yang akan berakhir esok (31 Mei) di Hongkod Koisaan, KDCA Penampang.

Zalita Sanadon bersama kumpulan kebudayaan Dusun Keningau di Hongkod Koisaan, Penampang hari ini.

Ketua Rumah Kebudayaan Keningau, Zalita Sanadon,58, berkata, kehadiran Anwar pasti akan memeriahkan lagi sambutan Pesta Kaamatan yang diadakan sepanjang bulan Mei.

“Kami berharap Perdana Menteri akan hadir dan singgah ke rumah-rumah kebudayaan KDCA untuk melihat sendiri keunikan budaya suku kaum di Sabah,” katanya ketika ditemui.

Beliau berkata, tahun ini mereka mempersembahkan tarian Titipak Sulung Sunsuron atau lebih dikenali sebagai tarian Magunatip iaitu tarian menggunakan buluh.

Dahulu tarian Titipak Sulung Sunsuron hanya dipersembahkan semasa upacara pertabalan pemimpin kampung bagi lelaki.

Tarian ini sesuai bagi menyambut kehadiran Perdana Menteri sebagai pemimpin nombor satu negara.

Menurut beliau, selepas upacara pertabalan pemimpin itu dihentikan pada 1960-an, Titipak menjadi tarian yang dipersembahkan pada majlis-majlis keramaian suku kaum Dusun Lobuk, Sook, Keningau.

Setiap kali Pesta Kaamatan, rumah-rumah Kebudayaan KDCA akan dibanjiri pengunjung termasuk pelancong asing.

Sophy Gin (tiga kanan) menyertai tarian Titipak Sulung Sunsuron yang dipersembahkan di Rumah Kebudayaan Keningau di Hongkod Koisaan Penampang hari ini.

Bagi Sophy Gin, 19, pelajar universiti dari Melbourne, Australia berkata, beliau teruja melihat persembahan kebudayaan yang begitu unik.

“Ini kali pertama saya berkunjung ke Sabah kerana kami ada trip anjuran universiti selama tiga minggu di sini. Secara kebetulan, ada pesta kebudayaan diadakan.

“Saya sempat belajar sedikit tarian buluh dan ia memang mengujakan untuk saya mengenali serba sedikit budaya masyarakat Sabah,” katanya.

Celine Armbuster (dua kanan) bersama rakannya semasa berkunjung ke Rumah Kebudayaan Dusun Lotud Tuaran.

Sementara itu, pelancong Jerman, Celine Armbuster,26, berkata, dia berasa bertuah kerana pada hari terakhir di Sabah dia dapat menyaksikan keunikan budaya masyarakat di sini.

Katanya, sebagai pelancong asing persembahan tarian kebudayaan yang unik sebegitu membolehkan dia belajar serba sedikit tentang budaya suku kaum di Sabah.

RELATED ARTICLES
EkonomiUtama

Capital A Hantar Pelan Pemulihan kepada Bursa Malaysia untuk Keluar dari...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular