UMS Sandakan anjur latihan kebakaran di Kolej Kediaman

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 23 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

Sandakan: Universiti Malaysia Sabah (UMS) Kampus Sandakan mengadakan program Latihan Kawad Pengungsian Bangunan dan Memadam Kebakaran di Kolej Kediaman Lestari UMS di sini, baru-baru ini.

Timbalan Pengetua Kolej Lestari, Borhan Abdul Haya @ Yahya berkata, program itu antara lain bertujuan sebagai latihan awal kepada semua penghuni kolej kediaman sekiranya berlaku kecemasan dan kebakaran.

“Selain itu, program ini bertujuan sebagai memenuhi keperluan pelaksanaan latihan kebakaran di kolej kediaman sesuai saranan dalam pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan.

“Di samping itu, ia juga bagi mengenalpasti sebarang ruang penambahbaikan yang boleh dilaksanakan dalam persediaan menghadapi bencana atau sebarang bentuk kecemasan pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Menurut Borhan, kira-kira 230 penghuni kolej kediaman terlibat dalam program tersebut yang merangkumi pelajar Blok A, Blok B dan Blok C.

“Terima kasih kepada pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Daerah Sandakan yang telah membantu menjayakan program ini.

“Setinggi-tinggi penghargaan juga diucapkan kepada semua jawatankuasa lain yang terlibat iaitu Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kolej Kediaman Lestari, Jabatan Pembangunan dan Penyelenggaraan (JPP) Fakulti Pertanian Lestari (FPL), Bahagian Keselamatan UMS Sandakan, Klinik Rawatan Warga FPL, Felo Kolej Lestari, Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa Kolej Kediaman KKLS (JAKMAS) dan syarikat Teamcons Sdn. Bhd.

“Program ini bukanlah yang terakhir dianjurkan malah akan ada banyak program berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan akan diadakan pada masa hadapan,”  katanya.

Pada majlis itu, Borhan turut menyampaikan sijil penghargaan kepada Penyelia Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Daerah Sandakan, Chauslim Sunsubin.

Hadir sama, Ketua Bahagian Keselamatan UMS Sandakan, Alnadine Barri; Penolong Jurutera Kanan UMS Sandakan, Addy Laminit; dan Presiden JAKMAS Kolej Kediaman Lestari Sandakan, Charles Rayner. – SABAH MEDIA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *