SME Bank perkukuh kedudukan di Sabah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 3 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

Kota Kinabalu :  SME Bank mengorak langkah ke arah mengukuhkan kedudukannya di Sabah menerusi tiga cawangannya iaitu di Pusat Wilayah Sabah, Pusat Enterpris Kota Kinabalu dan Pusat Enterpris Tawau.

SME Bank, salah satu agensi dibawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menawarkan perkhidmatan antara lain kemudahan pembiayaan kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan pembangunan sektor perusahaan sosial negara.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, setakat April tahun ini, SME Bank melalui ketiga-tiga cawangannya di Sabah telah meluluskan pembiayaan bernilai RM30.93 juta kepada 34 usahawan PKS Sabah.

“Tiga industri tertinggi yang menerima sokongan pembiayaan daripada SME Bank ialah industri pemborongan, peruncitan, hotel dan restoran bernilai RM309.97 juta.

“Sektor pembinaan turut menerima pembiayaan tertinggi iaitu RM98.04 juta dan pengangkutan, penyimpanan serta komunikasi sebanyak RM69.6 juta.

“Saya berharap lebih ramai usahawan akan mendapat bantuan kewangan dan juga program-program pembangunan kapasiti dan keupayaan usahawan PKS kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Makan Malam Ramah Mesra Bersama Usahawan SME Bank, di Shangri-La Tanjung Aru, di sini, semalam.

Turut hadir Menteri Pembangunan Perindustrian Phoong Jin Zhe, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan Dan Koperasi Dato’ Sri Suriani Dato’ Ahmad, Presiden Kumpulan / Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank Datuk Wira (Dr.) Aria Putera Ismail, Ahli-ahli Lembaga Pengarah dan Pengurusan Kanan Kumpulan SME Bank.

Ewon berkata, SME Bank memainkan peranan penting dalam memastikan usahawan PKS mendapat bantuan pembiayaan secukupnya.

“Kejayaan para usahawan, kontraktor dan vendor yang mendapat pembiayaan daripada SME Bank secara tidak langsung akan menyumbang kepada peningkatan kadar pertumbuhan PKS dengan lebih pesat,” katanya.

Beliau berkata, dalam Belanjawan 2023, SME Bank diamanahkan dengan tiga program baharu berjumlah RM31 juta.

“Dua daripada program ini adalah untuk memacu pembangunan Perusahaan Sosial negara.

“Sebanyak RM20 juta diperuntukkan di bawah Skim Pembiayaan Perusahaan Sosial bertujuan membangun dan memperkukuh perusahaan sosial, untuk modal kerja dan pembelian aset.

“Manakala, RM1.0 juta akan disediakan di bawah Skim Juara Lestari, sebuah program pembangunan kapasiti bertujuan menambah bilangan perusahaan sosial yang diakreditasi, melalui anak syarikat SME Bank, Centre for Entrepreneur Development and Research Sdn. Bhd. (CEDAR),” katanya.

Majlis seumpama ini yang julung kali diadakan oleh SME Bank di Sabah menunjukkan komitment agensi kerajaan itu memberikan sokongan penuh untuk memastikan usahawan khususnya di Sabah mendapat bantuan.

“Saya percaya kerjasama kukuh antara Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan, dan juga penyedia kemudahan pembiayaan seperti SME Bank pasti akan memberi manfaat besar kepada PKS negeri Sabah,” katanya. – SABAH MEDIA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *