Pengwujudan Kampus INSKEN di Sabah bantu bangunkan lebih ramai usahawan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 20 Second

Kota Kinabalu: Pengwujudan Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) Cawangan Sabah adalah selaras dengan hasrat kerajaan untuk membangunkan lebih ramai usahawan di negeri ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, pihaknya berharap usahawan-usahawan dan bakal usahawan di Sabah memanfaatkan kemudahan, fasiliti dan menyertai pelbagai program yang dilaksanakan oleh INSKEN.

“Pengwujudan Kampus INSKEN ini juga akan memudahkan lagi usahawan-usahawan di negeri ini mendapatkan maklumat dan latihan yang disediakan.

“Kita merasa amat bertuah kerana INSKEN memilih Sabah untuk mewujudkan cawangan pertama di seluruh Malaysia. Ini bertepatan dengan usaha kita untuk membangunkan lebih ramai usahawan di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kampus INSKEN Sabah di Wisma IDS, di sini, kelmarin.

Ewon berkata, INSKEN berperanan penting dalam memperkasa usahawan melalui program latihan dan bimbingan. 

“Tiada usahawan di Sabah yang ketinggalan disebabkan faktor geografi kerana INSKEN akan sentiasa turun padang membantu usahawan di Malaysia Timur (Sabah dan Sarawak),” katanya.

Katanya lagi, INSKEN menyediakan pelbagai program bimbingan untuk usahawan, antaranya Program INSKEN Bumiputera Business Coaching (IBBC), INSKEN Start-Up Coaching, Program Bimbingan Pembangunan Produk dan Program Bimbingan Keuntungan Menu.

“Sepanjang tahun 2022, INSKEN berjaya melatih  seramai 21,385 usahawan di seluruh negara sekaligus melepasi sasaran iaitu seramai 13,390 usahawan. 

“Saya berharap usahawan-usahwan dan bakal-bakal usahawan di Sabah merebut peluang mengikuti program latihan yang disediakan oleh INSKEN untuk memantapkan lagi kemahiran dalam keusahawanan,” katanya.

Kampus INSKEN di Sabah ini dilengkapi ruang pejabat untuk kakitangan, bilik latihan, mempunyai empat ruangan kerja yang dilengkapi komputer dan mesin pencetak khusus untuk usahawan Sabah yang tiada kemudahan asas menjalankan perniagaan. – SABAH MEDIA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *