HomeSukanAndre Anura idam pecah rekod peribadi tahun ini

Andre Anura idam pecah rekod peribadi tahun ini

Read Time:1 Minute, 30 Second

BERNAMA
Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

Nilai: Atlet lompat kijang lelaki negara Andre Anura Anuar berhasrat memecahkan catatan peribadi terbaiknya dalam tiga kejohanan yang akan disertainya tahun ini iaitu Sukan Universiti Dunia, Sukan Asia serta Kejohanan Trek dan Padang Asia (ATF).

Andre Anura berkata untuk tujuan itu, beliau kini giat berlatih selain akan ke Jerman pada 10 Jun ini untuk latihan dan perlawanan persahabatan sebagai persediaan awal menghadapi ketiga-tiga temasya sukan.

“Dalam sukan SEA di Hanoi pada 2022, saya merekodkan 16.51 meter manakala pada Sukan SEA tahun ini, walaupun saya berjaya merangkul emas namun saya hanya mampu melakukan catatan 16.06 meter berikutan kecederaan di tumit sebelum perlawanan.

“Jadi sekarang ini saya akan kembali on the track, mungkin sasaran (pecah rekod) dekat tiga-tiga games akan datang,” kata atlet kelahiran Sabah itu selepas menghadiri Majlis Penghargaan Pemenang Pingat pada Sukan SEA ke-32 di bawah Asean Victory Project oleh Ajinomoto (Malaysia) Berhad (AMB) di sini semalam.

Turut diraikan atlet lempar cakra Queenie Ting Kung Ni dan atlet lompat galah Nor Sarah Adi.

Ketiga-tiga atlet mengambil bahagian dalam Program Pemakanan Sukan Winning Meals Kachimeshi dan diberi pendedahan mengenai perkara itu serta menerima makanan seimbang bagi memenuhi keperluan latihan di temasya sukan itu.

Queenie turut berazam memperbaiki rekod kebangsaan miliknya dengan menyasarkan lemparan melebihi 58 meter dalam kejohanan yang akan disertainya tahun ini.

“Sekarang ini saya sedang bersedia untuk menghadapi ATF serta Sukan Asia dan berharap dapat memecahkan rekod kebangsaan,” katanya.

Atlet berusia 24 tahun yang berasal dari Sarawak itu melakukan lemparan sejauh 52.36 meter di Stadium Nasional My Dinh, Vietnam pada Sukan SEA baru-baru ini untuk meraih pingat perak.

Kejohanan ATF dijadual diadakan pada Julai di Thailand manakala Sukan Universiti Dunia dan Sukan Asia akan berlangsung sekitar Julai hingga September depan di China. – BERNAMA

RELATED ARTICLES
Sukan

Piala Malaysia : Perlawanan ini sangat penting – Martin

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular