HomeUtamaTuntutan Sulu bayar segera USD16 bilion melampau, prosiding masih berjalan

Tuntutan Sulu bayar segera USD16 bilion melampau, prosiding masih berjalan

Read Time:2 Minute, 46 Second

BERNAMA

PUTRAJAYA: Jabatan Peguam Negara (AGC) menyelar dengan tegasnya segala dakwaan dalam surat dihantar oleh Paul H Cohen, peguam kepada pihak yang mendakwa sebagai waris Sultan Jamalul Kiram II (penuntut kumpulan Sulu) yang membuat tuntutan terhadap kerajaan Malaysia.

AGC dalam kenyataan berkata, surat bertarikh 28 Mei lalu yang ditujukan kepada peguam negara diterima sehari selepas itu (29 Mei).

Menurut AGC, surat itu menuntut bayaran segera iaitu sebelum 2 Jun 2023, bagi Final Award yang dikatakan berjumlah USD16.412 bilion termasuk 10% faedah, USD3,502,394.24 bagi bayaran peguam dan ahli pakar serta USD4,026,592.64 bagi kos timbang tara.

“Dalam hal ini, adalah melampau bagi penuntut untuk membuat tuntutan bayaran bagi Final Award yang dikatakan itu sedangkan prosiding undang-undang masih lagi berlangsung,” menurut AGC.

Jabatan itu berkata, semua dakwaan oleh Paul dalam surat itu sama sekali tidak benar dan secara terang-terangan tidak mengendahkan fakta sebenar tuntutan (oleh penuntut) yang tidak dapat disangkal lagi akan mewujudkan rekod bertulis bagi perkara yang tidak benar, yang bertujuan untuk digunakan terhadap Malaysia.

Menurut AGC, surat itu juga mendakwa antara lain bahawa kerajaan Malaysia dengan sengaja gagal mematuhi Final Award yang dikatakan itu dan membuat dakwaan keterlaluan terhadap penimbang tara yang dikatakan itu, Dr Gonzalo Stampa dan tindakan-tindakan yang diambil oleh Stampa.

Selain itu, AGC berkata kandungan surat itu memberi gambaran yang tidak tepat dan memfitnah kerajaan Malaysia berhubung tindakan undang-undang yang diambil dalam menangani tuntutan berkenaan.

“Kerajaan Malaysia menafikan sepenuhnya semua dakwaan dan sindiran yang dibuat di dalam surat itu,” menurut kenyataan itu.

AGC berkata, kerajaan Malaysia dengan tegasnya membantah Final Award dan mengekalkan pendiriannya untuk tidak mengiktiraf semua tindakan yang diambil oleh Stampa dalam prosiding timbang tara yang dikatakan itu, serta semua keputusan dan award dikeluarkan olehnya yang tidak sah dari segi undang-undang.

Menurut AGC, berdasarkan dakwaan palsu yang dibuat pada 31 Mei lalu, kerajaan Malaysia melalui peguam negara telah menjawab surat itu yang menyatakan dengan jelas fakta-fakta berhubung tuntutan berkenaan yang tidak boleh dipertikaikan.

Selain itu, satu laporan polis telah dibuat pada 1 Jun lepas terhadap Paul atas kenyataan dan dakwaan tidak adil yang dibuat terhadap peguam negara.

“Tindakan ini membolehkan siasatan yang sewajarnya dijalankan bagi apa-apa kesalahan jenayah yang dibuat di bawah undang-undang Malaysia,” menurut kenyataan itu.

AGC berkata, kerajaan Malaysia akan terus mengambil semua langkah yang sewajarnya termasuk tindakan perundangan untuk menamatkan segala tuntutan berkenaan dan memastikan agar kepentingan, kekebalan kedaulatan serta kedaulatan negara sentiasa dilindungi dan terpelihara.

Kumpulan penuntut berkenaan sebelum ini dilaporkan membawa tindakan undang-undang ke Mahkamah Sepanyol untuk mendapatkan pampasan terhadap tanah di Sabah, yang didakwa telah dipajak oleh nenek moyang mereka kepada sebuah syarikat perdagangan British pada 1878.

Mereka membawa perkara itu kepada timbang tara Sepanyol pada 2019 dan pada 28 Feb 2022 penimbang tara Stampa yang dilantik oleh kumpulan individu berkenaan dikatakan membuat keputusan memihak kepada pihak mereka (penuntut).

Stampa telah mengeluarkan final award sebanyak USD14.9 bilion (RM62.59 bilion) terhadap Malaysia dan Malaysia telah menggunakan semua remedi undang-undang bagi membatalkan anugerah yang diberikan oleh Stampa kepada pihak yang menuntut di mahkamah di Sepanyol, Perancis, Luxembourg dan Belanda.

Pada 14 Mac lalu, Mahkamah Rayuan Paris mengekalkan perintah penggantungan terhadap penguatkuasaan award itu yang diperoleh kerajaan Malaysia di Perancis pada 12 Julai 2022. Oleh itu, perintah penggantungan yang diperoleh Malaysia berhubung penguatkuasaan award berkenaan adalah kekal.

RELATED ARTICLES
Mahkamah Kota Kinabalu
Utama

Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu Tangguh Kes Berkaitan Akta Laut Wilayah Hingga...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular