Hukuman berat wajar dikenakan kepada individu yang mencuri bekalan air, elektrik di Sabah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 34 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

Kota Kinabalu : Kerajaan wajar mengenakan hukuman lebih berat kepada pelaku atau individu yang membuat sambungan bekalan air dan elektrik secara haram khususnya di negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut berkata, satu Jawatankuasa Siasatan Bebas juga perlu ditubuhkan bagi menyiasat kecurian bekalan air dan elektrik yang bertambah serius di Sabah pada ketika ini.

“Jika jawatankuasa bebas itu dipersetujui, ia bukan sahaja bertindak menjalankan siasatan tetapi perlu mengemukakan kertas cadangan kepada kerajaan termasuk hukuman lebih berat kepada pelaku.

“Seksyen 53 Enakmen Bekalan Air Sabah 2003 dan Seksyen 37 (3) Akta Bekalan Elektrik 1990 juga perlu disemak semula untuk pindahan baharu yang lebih berat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Masiung berkata, isu kecurian air dan elektrik yang diwarisi di Sabah sejak beberapa siri kerajaan lalu banyak dipengaruhi kelemahan penguatkuasaan. 

Katanya, pihak penguatkuasa atau pembaca meter Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) turut dilihat tidak menyedari perkara demikian dan hanya bertindak apabila menerima aduan.

Tambahnya, masalah ini telah menyumbang kepada krisis air dan elektrik hingga memaksa kerajaan melaksanakan catuan kedua-dua bekalan itu hampir di semua daerah  di Sabah.

“Tumpuan utama siasatan ialah di kawasan perumahan setinggan yang padat dengan pendatang asing selain kilang-kilang dan permis perniagaan. Saya difahamkan selepas pihak berkuasa memotong sambungan haram air dan elektrik ini, hanya selang beberapa hari mereka (pelaku) telah membuat sambungan semula di lokasi lain.

“Adalah tidak adil bagi penduduk tempatan yang setia membayar bil setiap bulan apabila ada pihak lain mendapat bekalan secara tidak sah tanpa perlu membayar apa-apa,” katanya.

Dalam pada itu, Masiung yang juga Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) berkata, masalah pengurusan air di Sabah kini semakin meruncing menyebabkan pembinaan Loji Rawatan Air Telibung 2 yang membekalkan air ke Kota Kinabalu yang sepatutnya siap tahun lalu telah mengalami kelewatan. – SABAH MEDIA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *