HomePendapatESG: Transformasi Pertanian Melalui Teknologi

ESGTransformasi Pertanian Melalui Teknologi

Read Time:5 Minute, 22 Second

Oleh Wan Azrain Adnan

1.​Krisis pandemik Covid-19 telah memberi kesan yang mendalam kepada ekonomi serta kehidupan masyarakat di Malaysia. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan oleh Kerajaan Malaysia telah menyebabkan ekonomi negara terjejas, dengan pelbagai bentuk perniagaan mengalami kerugian, sehinggakan banyak yang terpaksa menutup operasi.

2.​Akibatnya, ramai rakyat Malaysia kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan. Menurut Timbalan Menteri Kewangan, sepanjang pandemik Covid-19, sejumlah RM 145 billion telah di keluarkan oleh rakyat Malaysia dari simpanan KWSP. Jumlah yang amat besar ini menggambarkan tahap kesusahan serius yang di alami oleh rakyat Malaysia untuk menjalani kehidupan seharian. Malah, kesan pandemik Covid-19 masih di rasai oleh pelbagai pihak dan belum pulih sepenuhnya.

3.​Mengikut Jabatan Perangkaan Malaysia, Laporan Anggaran Pendapatan Isi Rumah dan Insiden Kemiskinan Malaysia 2020 mendapati bahawa 20 peratus daripada kumpulan isi rumah M40 telah beralih kepada kumpulan B40 akibat kehilangan pekerjaan dan potongan gaji. 

4.​Antara sektor ekonomi yang terjejas teruk ialah sektor pertanian. Sektor pertanian negara, termasuklahpadi dan kelapa sawit, rata-rata masih di usahakan secara konvensional dengan kebergantungan tinggi kepada tenaga kerja manusia. Automasi serta penggunaan teknologi adalah rendah dan tidak meluasdi dalam sektor pertanian, yang kekal di selubungi dengan pelbagai isu seperti – hasil tanaman dan produktiviti yang rendah, pendapatan dan gaji yang rendah, infrastruktur pertanian yang tidak mencukupiserta usia petani yang tua.

5.​Di Malaysia, seramai hampir 1.6 juta orang terlibat di dalam sektor pertanian, meliputi 10.5% daripada jumlah keseluruhan pekerja. Daripada jumlah tersebut, 32% adalah pekerja asing. Jumlah ini mungkin jauh lebih tinggi jika pekerja asing tanpa izin di ambil kira.

6.​Apabila pelaksanaan PKP serta penutupan sempadan negara di umumkan oleh Kerajaan Malaysia, ramai pekerja asing tersebut telah mengambil keputusan untuk pulang ke negara asal mereka. Dalam sekelip mata, sektor pertanian negara telah kehilangan puluhan ribu pekerja. Akibatnya produktiviti serta hasil tanaman telah menjunam dengan mendadak.

7.​Pada masa yang sama, isu rantaian bekalan global telah menyebabkan harga input pertanian seperti baja, racun dan makanan haiwan ternakan, meningkat tinggi, hinggakan ada yang mengalami peningkatan melebihi 100%. Oleh kerana itu, rakyat Malaysia terpaksa berdepan dengan harga makanan yang tinggi.

8.​Sektor perladangan kelapa sawit mengharungi tempoh yang amat mencabar dengan ketiadaan pekerja yang mencukupi. Buah kelapa sawit terbiar mereput di atas pokok kerana kekurangan penuai/ harvester, yang menyebabkan kerugian yang besar. Menurut Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), sektor perladangan kelapa sawit telah mengalami kerugian sejumlah RM 21 billion pada tahun 2021 akibat kekurangan pekerja. 

9.​Berdepan dengan jumlah kerugian yang besar, pengusaha pertanian tidak ada pilihan melainkan mempertimbang serta mengguna-pakai teknologi untuk menangani isu kekurangan pekerja serta isu-isu legasi sektor pertanian. Secara am-nya, Model Pertanian Pintar yang berteraskan teknologi mampu memecut agenda transformasi sektor pertanian negara. 

10.​Penggunaan teknologi terkini seperti – dron, Artificial Intelligence (AI), robotik dan Internet of Things (IOT) dapat menghasilkan manfaat segera kerana telah pun terbukti berkesan sejak di komersilkan beberapa dekad yang lalu di seluruh dunia. Model Pertanian Pintar boleh meningkatkan produktiviti dan hasil tanaman, menambah pendapatan, mengoptimumkan penggunaan racun dan baja, membantu kelestarian alam sekitar serta mengurangkan pendedahan manusia kepada racun. 

11.​Sebagai contoh. Ramai petani padi masih menggunakan alat Leaf Colour Chart (LCC)/ Carta Warna Daun untuk mengukur kesihatan dan keperluan nitrogen untuk tanaman padi. Ini dapat membantu petani mengoptimumkan penggunaan baja nitrogen di sawah padi. Petani menggunakan LCC kerana harganya yang murah serta mudah untuk digunakan.

Namun begitu, penggunaan LCC hanya sesuai jika keluasan tanaman padi adalah kecil. Jika melibatkan kawasan yang luas, ianya akan mengambil masa yang lama untuk mengambil data LCC secara manual. Tambahan lagi, pengumpulan data LCC adalah secara sampling yang tidak menyeluruh. Dengan mengguna-pakai teknologi dron dan AI, proses LCC dapat di buat secara digital dan menghasilkan analisa data dengan pantas, tepat dan menyeluruh.

12.​Begitu juga penggunaan teknologi untuk perladangan kelapa sawit. Sebagai contoh. Dari masa ke semasa, pengurusan ladang akan melaksanakan kiraan pokok kelapa sawit untuk memastikan penggunaan tanah secara optimum. Hasil kiraan pokok tersebut di gunakan untuk perancangan pengurusan dan operasi ladang termasuklah – pembelian baja dan racun serta keperluan tenaga kerja. 

13.​Sepertimana penggunaan LCC, aktiviti kiraan pokok kelapa sawit ini juga dapat di lakukan dengan pantas, tepat dan menyeluruh dengan mengguna-pakai teknologi dron dan AI. Malah teknologi dron adalah lebih produktif kerana satu unit dron dapat membuat pemetaan kawasan seluas 250 hektar sehari. Ini penting kerana di dalam sektor pertanian seperti padi dan kelapa sawit, analisa data perlu di hasilkan secara pantas dan tepat pada masanya, untuk mengatasi isu seperti – serangan penyakit dan makhluk perosak.

14.​Tambahan lagi, teknologi dapat membantu penggunaan input pertanian seperti racun dan baja, secara optimum. Penyemburan racun menggunakan teknologi AI dan dron dapat menjimatkan jumlah racun dan air sehingga 80%. Ini sudah pasti dapat meningkatkan kelestarian alam sekitar denganmengurangkan pencemaran udara dan sumber air. Kesihatan tenaga kerja manusia juga lebih terjamin. Kualiti hasil tanaman dapat di pelihara tanpa penggunaan racun secara berlebihan.

15.​Penggunaan teknologi di dalam sektor pertanian adalah selaras dengan agenda Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) yang di tekankan oleh Kerajaan Malaysia. Malah ianya selari dengan kerangka Environmental, Social & Governance (ESG). 

16.​Masyarakat global dan tempatan kini memberi perhatian yang serius kepada pematuhan amalan ESG.Tidak lama dahulu, beberapa syarikat perladangan kelapa sawit dan pembuatan Malaysia seperti – Top Glove, Sime Darby Plantation, FGV dan ATA IMS, telah menghadapi isu pematuhan ESG. Akibatnya, syarikat-syarikat berkenaan telah di kenakan sekatan import dan penamatan kontrak, dan terpaksa menanggung kos jutaan ringgit untuk mengatasi isu berkaitan.

17.​Transformasi sektor pertanian negara mesti di laksanakan dengan penggunaan teknologi. Sektor pertanian yang produktif dan mampan, berlandaskan kerangka ESG, adalah penting untuk memastikan agenda sekuriti makanan negara terjamin.  

RELATED ARTICLES
Utama

Bakal jemaah haji Sabah perlu siapkan diri dari aspek mental, kekuatan...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya