SPRM, Kerajaan Sabah  kerjasama pantau dana RM320 juta selesai isu air

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 36 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

Kota Kinabalu : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan bekerjasama rapat dengan Kerajaan negeri bagi memantau pengurusan dana sebanyak RM320 juta yang diperuntukkan Kerajaan Persekutuan kepada Sabah bagi menyelesaikan masalah air di negeri ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya telah mengarahkan SPRM Sabah bagi membantu Kerajaan Sabah bagi memastikan peruntukan itu dibelanjakan secara berhemah.

“Perkembangan isu tentang projek-projek air di Sabah ini dekat dihati SPRM sebenarnya.  Jadi saya telah mengarahkan SPRM Sabah untuk bekerjasama dengan Kerajaan negeri untuk sama-sama memantau perkembangan projek dana yang telah diperuntukkan.

“Apabila disalurkan kita berharap peruntukan ini dibelanjakan dengan berhemah, baik dan juga mengikut proses undang-undang yang ditetapkan, ini kerana berdasarkan sebelum ini ada beberapa kes melibatkan isu di Sabah yang telah disiasat oleh SPRM sehingga dibawa ke mahkamah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Pertandingan Akhir Debat Antirasuah Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Piala Ketua Pesuruhjaya SPRM 2023, di Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini hari ini.

Hadir sama, Naib Canselor UMS, Datuk Dr Kasim Mansor dan Ketua SPRM Sabah Datuk S Karunanithy.

Dalam pada itu, Azam berkata, Kerajaan Sabah telah menunjukkan komitmen tinggi dalam usaha untuk memerangi rasuah dan ketirisan di negeri ini.

“Di Sabah saya memuji Kerajaan Negeri yang telah memberi kerjasama penuh kepada SPRM dan bukan itu sahaja, Kerajaan Sabah juga berbelanja dengan kos yang intensively dalam meningkatkan integriti pegawai-pegawai Kerajaan Negeri Sabah.

“Banyak program-program telah dilaksanakan selain daripada kes-kes yang perlu kami siasat diminta oleh Kerajaan Negeri Sabah untuk kita siasat,” katanya.

Terdahulu, pada 1 Jun lalu, sebanyak RM320 juta diperuntukkan Kerajaan Persekutuan kepada Sabah bagi membantu mempercepat pelan jangka pendeknya dalam menangani krisis air di negeri ini.

Bantuan kewangan itu merangkumi pelaksanaan enam program yang terdiri daripada 20 projek di seluruh negeri termasuk sembilan bagi daerah Kota Kinabalu, Tuaran, Putatan, Papar, Beaufort, Keningau, Tawau, Lahad Datu, dan Sandakan. – SABAH MEDIA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *