HomeUtamaJemaah haji diingatkan jaga kebersihan, kesihatan

Jemaah haji diingatkan jaga kebersihan, kesihatan

Read Time:2 Minute, 16 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

Kota Kinabalu: Para jemaah haji Malaysia diingatkan untuk terus menjaga kebersihan dan kesihatan diri sepanjang mengerjakan ibadah haji di tanah suci.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Dato Dr Mohd Nai’m Mokhtar berkata, ini kerana jutaan jemaah haji dari seluruh pelusuk dunia akan berkumpul di tanah suci selain akan berdepan dengan keadaan cuaca yang sangat panas.

“Para jemaah juga diingatkan untuk sentiasa menjaga adab dan akhlak dan banyak bersabar sepanjang berada di tanah suci kerana ia bukan sahaja demi menjaga nama baik Malaysia tetapi juga melambangkan sifat redha dengan kehambaan kita kepada Allah SWT dan memelihara akhlak mulia sesama manusia.

“Selain itu, para jemaah juga digalakkan untuk keluar secara berkumpulan dan sentiasa memakai kad pengenalan diri yang dibekalkan oleh Tabung Haji demi menjaga keselamatan diri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelepasan Jemaah Haji Negeri Sabah Musim Haji 1444 H di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini petang tadi.

Majlis pelepasan jemaah disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan turut dihadiri isteri Toh Puan Norlidah RM Jasni.

Hadir sama Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan isteri Datin Seri Juliah Salag; Timbalan Ketua Menteri Datuk Ir Shahelmey Yahya dan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.

Mohd Nai’m berkata, para jemaah haji juga boleh merujuk kepada para pembimbing ibadat Haji yang disediakan di setiap bangunan penginapan sekiranya mempunyai kemusykilan berkaitan ibadat haji.

Katanya, ini adalah bagi memastikan amalan yang dilakukan itu adalah betul seperti yang dikehendaki agama.

“Ambillah kesempatan berada di tanah suci untuk memberi tumpuan kepada menyempurnakan ibadat haji dan amal ibadat yang lain. 

“Elakkan daripada terlalu banyak melakukan perkara sia-sia kerana peluang terpilih menjadi tetamu Allah bukannya mudah.  Pergunakanlah waktu yang direzekikan di tanah suci nanti untuk melaksanakan ibadah kepada Allah SWT,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Nai’m berkata, operasi haji negara kembali seperti sedia kala dengan kuota penuh jemaah haji iaitu seramai lebih 31,000 jemaah haji Malaysia telah terpilih menjadi tetamu Allah.

Katanya, daripada jumlah tersebut, seramai 1079 jumlah jemaah haji  adalah bakal haji dari Negeri Sabah. 

“Tahniah saya ucapkan kepada semua jemaah haji yang terpilih dan mudah-mudahan ibadat haji yang bakal dikerjakan akan meningkatkan lagi iman dan amal dalam menuju jalan yang diredhai Allah, demi kebahagiaan di dunia dan akhirat,” katanya.

Pada musim ini, sebanyak 98 penerbangan sewa khas haji menggunakan syarikat penerbangan Malaysia Airlines Bhd (MAB) dan Saudia Airlines disediakan untuk membawa semua jemaah haji ke tanah suci. 

Sebanyak enam penerbangan domestik dari Sabah akan ke KLIA bermula hari ini di mana apabila sampai di KLIA, para jemaah akan menaiki penerbangan sewa khas haji untuk ke tanah suci.  – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Yayasan PETRONAS agih 500 bakul makanan sempena Kaamatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular