Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Papar : Margin simpanan air bagi negeri Sabah yang direkodkan sehingga penghujung tahun lalu adalah berada pada tahap rendah iaitu sebanyak 7.3 peratus.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Datuk Armizan Ali berkata, selain Sabah, dua negeri lain turut berada pada tahap rendah di bawah 10 peratus adalah di Perlis dan Melaka.
Katanya, selain itu Pulau Pinang dan Terengganu serta beberapa negeri lain memiliki margin simpanan air di tahap selesa iaitu melebihi 20 peratus.
“Manakala, jika dilihat secara lebih spesifik di kawasan bandar utama termasuk Greater Kota Kinabalu, kadar margin simpanan air kita sebenarnya berada di paras negatif. Oleh sebab itu, Papar menjadi salah satu kawasan dikenal pasti disebabkan kewujudan kawasan tadahan air tertentu sebagai salah satu lokasi yang terlibat untuk cadangan pembinaan empangan.
“Untuk tujuan tersebut, satu pasukan petugas khas dikenali sebagai Pasukan Petugas Khas Pembangunan Sosio Ekonomi Penduduk diketuai oleh Pegawai Daerah ditubuhkan berkuatkuasa serta merta,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri sesi Taklimat Khas Berkaitan Projek Pembinaan Empangan Papar di Jabatan Air Daerah Papar, di sini hari ini.
Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar berkata, fungsi utama pasukan petugas khas berkenaan ditubuhkan adalah untuk melihat aspek pembangunan sosio-ekonomi penduduk yang terlibat.
“Kita perlu bersikap adil kepada penduduk setempat yang terkesan maka sesi libat urus perlu dilaksanakan dari peringkat awal bagi mendengar kebimbangan, aspirasi dan harapan mereka.
“Selain itu, melalui pasukan petugas khas ini juga, kita akan berkongsi maklumat dengan penduduk yang terlibat agar mereka faham pembangunan ini hadir bersama pakej bagi pembangunan sosio-ekonomi penduduk di kawasan tersebut,” katanya.
Armizan memohon kerjasama penduduk setempat agar dapat membenarkan pasukan perunding untuk melaksanakan kajian mereka bagi mengenal pasti lokasi yang bersesuaian dengan kadar segera.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Limbahau, Datuk Juil Nuatim, Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Johnny Mositun, Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah, Suhaimi Asbullah dan Pegawai Daerah, Mohd Fuad Abdullah.