KOTA KINABALU: Lebih 100 pengamal media Sabah bersama ahli keluarga masing-masing hadir memeriahkan sambutan Hari Keluarga Persatuan Wartawan Sabah (SJA) di sini pada Sabtu (10 Jun).
Program diadakan di dewan J Native Borneo Lok Kawi dekat sini.
Presiden SJA, Datuk Muguntan Vanar, berkata, program itu baru diadakan semula setelah tiga tahun tidak diadakan disebabkan pandemik Covid-19 melanda negara.
Katanya, penganjuran program itu bertujuan merapatkan hubungan kekeluargaan dalam kalangan wartawan di negeri ini, khususnya ahli persatuan berkenaan.
“Sejak pandemik melanda negara, kita telah mencuba untuk mengadakan tahun lalu tetapi keadaan tidak mengizinkan kerana masing-masing sibuk dengan tugasan Pilihan Raya Umum ke-15 di Sabah.
“Kita memahami kesibukan tugas wartawan, kita tetap mencari masa dan ruang sesuai untuk mengadakan majlis ini, oleh sebab itu hari ini (semalam) kita berjaya mengadakan program ini juga dengan sambutan yang amat menggalakkan dengan kehadiran ramai ahli bersama keluarga masing-masing.
“Saya sangat gembira melihat sokongan dari ahli-ahli persatuan ini selain kita dapat mengeratkan lagi tali silaturrahim yang telah lama terjalin,” katanya ketika ditemui pemberita semalam.
Dalam pada itu, Muguntan turut mengalu-alukan wartawan, jurugambar dan penerbit dari media cetak, elektronik serta atas talian (online) di Sabah dan Labuan menghantar penyertaan Kinabalu Press Awards 2023 yang kini telah dibuka.
“Ini menggalakkan para wartawan dan jurugambar dari media cetak, penyiaran serta atas talian untuk menyertai pertandingan ini bagi mengiktiraf dan menghargai mereka yang terbaik dalam bidang media,” kata presiden SJA itu.
Semua penyertaan hendaklah dihantar melalui pautan: https://mpi.my/kpa2023
Tarikh tutup penyertaan adalah pada 23 Jun 2023.
Syarat dan peraturan KPA 2023 boleh diperoleh daripada Jawatankuasa SJA dalam
tempoh penyertaan.
Sebarang pertanyaan lanjut, sila hubungi jawatankuasa penganjur SJA di talian 0019- 8508059 (Aisyah) atau 013-830 8890 (Durie). Butiran mengenai kategori, hadiah dan peraturan turut dilampirkan.