HomeUtamaKeusahawanan dan perniagaan merupakan bidang menguntungkan, meningkatkan ekonomi - Masidi

Keusahawanan dan perniagaan merupakan bidang menguntungkan, meningkatkan ekonomi – Masidi

Read Time:3 Minute, 21 Second

KOTA KINABALU: Keusahawanan dan perniagaan merupakan bidang yang menguntungkan dan mampu meningkatkan ekonomi keluarga, masyarakat mahupun negara, kata Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun.

Beliau berkata banyak ruang dan peluang dalam dunia keusahawanan, bidang ini boleh diceburi oleh semua lapisan masyarakat tidak kira bangsa mahupun agama.

“Apa yang penting ialah kesungguhan serta minat kita untuk berkecimpung dalam arena perniagaan sama ada berskala kecil, sederhana dan besar mengikut kemampuan sumber kewangan.

“Ramai orang mempunyai semangat dan idea untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya. Bagaimanapun, bagi menterjemahkan semangat dan idea itu kepada realiti selalunya sukar dan kadang kala ianya hanya menjadi impian semata-mata.

“Inilah antara dilema masyarakat kita – takut, tidak yakin, tiada kreativiti dan kurang pendedahan dengan penggunaan teknologi terkini,” katanya sempena sambutan bersama Kaamatan-Gawai KCCI-DCCI ke-14 anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kadazandusun (KCCI) dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Dayak (DCCI) di sini, hari ini.

Ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Datuk Julita Mojungki.

Masidi berkata, sebagai orang asal Sabah, beliau yakin penubuhan KCCI dan DCCI telah banyak membantu dan menyokong komuniti peniaga peribumi di Sabah dan Sarawak.

“Tidak dinafikan, kita mempunyai usahawan dan peniaga yang berkebolehan. Latihan, kemudahan kewangan, perkhidmatan sokongan disediakan oleh badan-badan kewangan dan agensi-agensi kerajaan sepanjang masa.

“Suasana di negara kita adalah sangat kondusif kepada komuniti peniaga untuk memajukan dan mengembangkan perniagaan kerana banyak bantuan disediakan oleh kerajaan berbanding dengan negara jiran yang terpaksa menghadapi pelbagai masalah dan ketidakstabilan ekonomi.

“Namun demikian, usahawan perlu sentiasa bersedia untuk menghadapi ketidaktentuan dalam ekonomi yang sangat dinamik ini. Maka untuk menjadi seorang usahawan dan peniaga yang berjaya perlu ada kesungguhan, kemahiran dan pengetahuan,” ujarnya.

Tambah beliau, kerajaan menerusi kementerian, jabatan dan agensi samada dari kerajaan Persekutuan mahupun Negeri mengadakan pelbagai program dan bantuan bagi membantu usahawan dan peniaga yang terjejas.

“SEDCO dan MARA misalnya mempunyai pelbagai bantuan dan program dalam membantu komuniti peniaga bumiputera, begitu juga kemudahan-kemudahan kewangan dengan pelbagai skim yang ditawarkan oleh badan-badan kewangan dan bank.

“Selain dari Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), kementerian-kementerian lain juga menyediakan bantuan dalam usaha membangunkan semula usahawan dan peniaga terutamanya untuk golongan bumiputera,” jelasnya.

Menurutnya, melalui Hala Tuju SMJ, Kerajaan Negeri telah berjaya membawa masuk pelaburan bernilai RM2 bilion yang melibatkan pembinaan kilang pemprosesan pasir silika di Sikuati Kudat dan penghasilan panel solar di KKIP.

“Kita jangkakan kilang ini akan mula beroperasi pada suku akhir tahun ini dengan menyediakan pekerjaan kepada penduduk tempatan dan menawarkan pelbagai kontrak kepada usahawan dan peniaga bumiputera.

“Manakala nilai pelaburan dalam sektor pembuatan di Sabah mencatatkan peningkatan sebanyak RM8.49 bilion bagi tahun 2022 berbanding RM4.48 bilion pada tahun sebelumnya. Secara tidak langsung, ini akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan kepada komuniti setempat,” katanya.

Katanya, industri minyak dan gas di Sabah juga mempunyai potensi yang besar dan merupakan sektor utama dalam hala tuju SMJ. Atas dasar itu, Kerajaan Negeri Sabah telah menubuhkan syarikat minyak dan gas milik penuh kerajaan negeri iaitu SMJ Petroleum Sdn Bhd.

“Melalui penubuhan syarikat ini, kita akan mampu untuk mengawal industri minyak dan gas di Sabah serta menawarkan peluang perniagaan kepada kontrakter tempatan.

“Kerajaan telah menyasarkan untuk memperoleh RM1 bilion anugerah kontrak tempatan atau 20 peratus daripada jumlah kontrak minyak dan gas yang diberikan pada tahun ini dan menetapkan sasaran 30 peratus untuk tahun hadapan. Secara tidak langsung, ini akan mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan kepada kontraktor tempatan,” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau turut menyentuh mengenai pemindahan ibu kota Indonesia ke Kalimantan Timur yang di namakan sebagai Nusantara.

“Pemindahan ini bakal menjadikan kedudukan Sabah dan Sarawak yang terletak di kepulauan Borneo lebih strategik untuk dibangunkan sebagai kawasan pertumbuhan ekonomi baharu.

“Kesan limpahan pembangunan di Kalimantan mungkin akan menjadikan negeri Sabah dan Sarawak sebagai ‘lombong emas’ yang boleh diterokai bagi mengambil peluang pembangunan yang pesat di Kalimantan kelak.

“Gabungan antara Sabah dan Sarawak bakal menjadi powerhouse atau kuasa besar di Malaysia yang mempunyai kelebihan daya saing. Tidak mustahil perkara ini akan menjadi satu realiti pada masa akan datang dan pastinya memberi manfaat kepada usahawan dan peniaga tempatan,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Cubaan Potong Berakhir Tragedi: Isteri Pemandu Maut di Lokasi

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular