HomeUtamaKerjasama kunci utama pamerkan potensi Asia - Anifah Aman

Kerjasama kunci utama pamerkan potensi Asia – Anifah Aman

Read Time:1 Minute, 20 Second

BERNAMA
Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

Kuala Lumpur: Kerjasama yang ikhlas dan bermakna merupakan kunci untuk mengungkap potensi besar Asia dan akan membolehkan terwujudnya aturan dunia multipolar.

Menerapkan nilai-nilai Asia berdasarkan kemakmuran bersama dan kerjasama juga memungkinkan benua ini tidak lagi bergantung kepada Barat dan membolehkannya menentukan arah dan takdirnya sendiri, kata bekas Menteri Luar Malaysia Tan Sri Anifah Aman dalam ucapannya di Persidangan Kuala Lumpur 2023 pada Sabtu.

“Kita perlu mengakui bahawa kekuatan kita terletak pada kesatuan dan kolaborasi. Asia, yang kaya dengan sejarah, budaya dan ekonomi yang berkembang pesat, mempunyai potensi untuk menjadi mercu tanda kemajuan dunia.

“Dengan menggunakan kekuatan kolektif, kita boleh mengatasi cabaran-cabaran dan membina masa depan yang ditakrifkan oleh kemakmuran ekonomi dan kejayaan yang dikongsi.

“Satu langkah penting lain untuk mewujudkan wawasan ini adalah dengan mempromosikan perdagangan dan pelaburan dwisisi dalam mata wang domestik di pasaran Asia dan di luar.

“Dengan mengurangkan kebergantungan pada mata wang Barat dan menggunakan mata wang sendiri, kita boleh mewujudkan kestabilan ekonomi yang lebih besar, menggalakkan transaksi rentas sempadan, dan memanfaatkan potensi penuh perdagangan dalam Asia.

“Ini tidak hanya akan mengukuhkan ekonomi serantau tetapi juga meningkatkan kedudukan dan pengaruh global kita,” katanya.

Anifah, yang juga penasihat khas kepada ketua menteri Sabah untuk hubungan antarabangsa dan pelaburan asing, menyeru negara maju di Asia untuk memudahkan pembinaan kapasiti dan pemindahan teknologi bagi memperkasa negara-negara membangun, lapor Xinhua.

Dianjurkan oleh Pusat Pembangunan Ekonomi dan Mampan dan Forum Dialog Global “Building an Asian Common Market of Shared Prosperity”, persidangan ini menghimpunkan pegawai-pegawai dan ahli akademik untuk membincangkan kerjasama di seluruh Asia menghadapi realiti geopolitik baru. – BERNAMA

RELATED ARTICLES
Utama

Ops Buaya: JHL tembak mati buaya betina di Kg Sabah Baru

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular