HomeUtama472 Ahli Majlis dilantik terajui 25 PBT di Sabah

472 Ahli Majlis dilantik terajui 25 PBT di Sabah

Read Time:2 Minute, 52 Second

KOTA KINABALU: Seramai 472 Ahli Majlis telah dilantik untuk menerajui 25 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Sabah bagi sesi 2023 hingga 2025, di mana lebih separuh daripada mereka merupakan lantikan baharu manakala selebihnya lantikan semula, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam.

Beliau yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan berharap pelantikan mereka akan dapat melancarkan lagi sistem penyampaian perkhidmatan di PBT masing-masing agar lebih cekap, berkualiti dan telus.

Katanya, seorang Ahli Majlis yang dilantik memainkan peranan sebagai penghubung di dalam hubungan di antara Kerajaan dengan rakyat melalui bentuk kerajaan ketiga iaitu Kerajaan Tempatan.

“Mereka mempunyai kedudukan untuk membantu PBT dalam membuat dasar, merancang, mengawasi pelaksanaan program-program yang dilaksanakan serta menyampaikan pandangan dan nasihat dalam beberapa Jawatankuasa di peringkat PBT dan sekali gus menjadi rujukan dan penyebar kepada dasar dan matlamat kerajaan kepada rakyat.

“Namun begitu, Ahli Majlis juga mempunyai had dan bidang kuasanya yang tersendiri di bawah Ordinan Kerajaan Tempatan 1961. Oleh itu, bertindaklah atas batas dan kapasiti anda semua sebagai seorang Ahli Majlis,” katanya ketika merasmikan penutupan Seminar Mengenai Peranan dan Tanggungjawab Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan Sabah Lantikan Tahun 2023 Hingga Tahun 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.

Dr. Joachim mengingatkan Ahli Majlis untuk memahami, menghayati dan melaksanakan peranan dan tanggungjawab mereka.

Katanya, antara peranan dan tanggungjawab utama yang perlu dilaksanakan oleh setiap Ahli Majlis di daerah masing-masing adalah tertakluk kepada beberapa perkara iaitu sebagai penyampai dan jurucakap yang mana penglibatan mereka adalah untuk mewakili kepentingan-kepentingan orang ramai dan masyarakat setempat.

Ini sama ada bagi menyampaikan kehendak orang ramai atau mendapat maklumbalas dari orang ramai terhadap perkhidmatan yang disediakan oleh PBT, jelasnya.

“Selain itu, Ahli Majlis juga membantu dalam membentuk dasar dan hala tuju PBT. Pada kebiasaan dasar yang dibuat oleh PBT mestilah dikaitkan dengan kehendak dan matlamat dasar negara.

“Dasar merangkumi aspek yang luas. Sesuatu dasar yang diperkenalkan perlu mengambil kira pandangan rakyat agar ianya tidak menimbulkan rungutan rakyat di masa akan datang apabila dasar tersebut dilaksanakan. Untuk mencapai tujuan ini, ahli majlis hendaklah mengetahui dasar kerajaan supaya dasar PBT tidak bercanggah dengan dasar kerajaan pusat mahupun negeri, selain memahami keperluan semasa rakyat. Ahli Majlis berperanan untuk memberi kefahaman dan penjelasan berhubung dasar-dasar baharu,” katanya.

Tambahnya, Ahli Majlis juga berperanan dan bertanggungjawab untuk menyemak kemajuan pengurusan pentadbiran PBT agar berjalan mengikut prinsip-prinsip dan peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh PBT dan Kerajaan demi kelancaran pengurusan pentadbiran PBT, selain membuat, meminda atau membatalkan Undang-undang Kecil tertakluk kepada kelulusan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan agar dapat dijadikan asas dan panduan kepada pihak pengurusan di peringkat PBT untuk bertindak mengikut peraturan atau tatacara yang mempunyai punca kuasa perundangan.

Dr. Joachim berharap segala yang telah di kongsikan oleh para penceramah pada seminar hari ini dapat dimanfaatkan dan diterjemahkan kepada impak yang positif sekembalinya ke daerah masing-masing.

“Besarlah harapan kami di Kementerian agar semua Ahli Majlis yang telah dilantik dan menyertai dengan jayanya seminar pada hari ini memahami dan menghayati peranan dan tanggungjawab tersebut. Atas keperluan itu, seminar pada hari ini difikirkan perlu dalam usaha untuk memastikan kefahaman terhadap keperluan seorang Ahli Majlis dicapai,” katanya. 

Turut hadir, Pembantu Menteri I dan II Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Isnin Aliasnih san Datuk Mohamad Hamsan Ag Supain; Setiausaha Tetap Kementerian, Datuk Dr. Jamili Nais; Timbalan Setiausaha Tetap I, Stanley Chong; Pengarah Jabatan Perancang Bandar dan Wilayah; Presiden Majlis Perbandaran Tawau, Pengerusi-pengerusi Majlis Daerah, Pegawai-pegawai Eksekutif PBT serta para penceramah.

RELATED ARTICLES
EkonomiUtama

Sabah komited terima ESG

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya