HomeUtamaRumah transit dicadang dibina bantu pelajar IPT di Sabah

Rumah transit dicadang dibina bantu pelajar IPT di Sabah

Read Time:1 Minute, 44 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

Kota Kinabalu : Kerajaan negeri dicadangkan agar dapat membina rumah transit untuk para pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) seperti Program Perumahan Rakyat (PPR).

Cadangan itu disuarakan Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) Sabah Datuk Masiung Banah dalam satu sesi Dialog Siswa di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sabah di sini semalam.

Katanya, rumah itu diyakini akan dapat mengurangkan beban pelajar serta ibu bapa yang terpaksa menanggung kos rumah sewa yang semakin meningkat pada masa ini.

“Jika dahulu Kerajaan mewujudkan rumah transit untuk orang awam, mungkin selepas ini kita cadangan kepada Kerajaan negeri agar dapat mempertimbangkan untuk membina rumah-rumah transit untuk para pelajar pula.

“Mungkin dengan adanya rumah transit, isu yang sedang berlegar pada masa ini tidak akan berlaku kerana paling lama pun pelajar akan membuat pengajian mungkin dalam sekitar dua hingga tiga tahun dan sebagainya,” katanya.

Turut hadir sama pada sesi dialog itu, Timbalan Ketua Menteri Datuk Ir Shahelmey Yahya.

Masiung berkata, apabila para pelajar tersebut tamat pengajian maka kunci rumah itu perlu diserahkan selain mengosongkan rumah bagi memberi peluang kepada pelajar lain.

“Saya rasa dengan cara tersebut tiada lagi isu minta sambung atau merayu untuk tinggal disitu sepertimana yang berlaku kepada penyewa PPR,” katanya.

Baru-baru ini timbul isu berhubung rumah PPR yang dimiliki oleh LPPB yang disewakan kepada rakyat yang berpendapatan RM750 hingga RM3,000.

“Kami telah beri peringatan kepada penyewa bahawa tempoh had maksimum iaitu 10 tahun telah tamat dan minta kerjasama untuk keluar supaya dapat beri peluang orang lain.

“Tapi malangnya, apabila bagi peringatan ia jadi isu utama pula di Sabah ini seolah-olah kita bertindak kejam,” kataya.

Sementara itu, Shahelmey ketika diminta mengulas cadangan itu, beliau berkata, cadangan itu merupakan satu cadangan yang baik dan pihaknya akan membawa perkara itu ke mesyuarat Kabinet Sabah.

“Ia merupakan satu cadangan yang yang begitu baik sekali, ada beberapa tempat di luar negara mereka mengadakan apa yang dipanggil sebagai perkampungan pelajar selain daripada asrana yang dibina oleh pihak universiti.

“Perkara ini nanti akan saya bawa ke dalam mesyuarat cabinet untuk dibincangkan dan diperhalusi pelaksanaannya,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Luar negaraUtama

Video terakhir Raisi sebelum helikopter dinaiki terhempas

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular