HomePendapatIndeks Kemampanan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Di Sabah Perlu Diperkemaskan

Indeks Kemampanan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Di Sabah Perlu Diperkemaskan

Read Time:3 Minute, 30 Second

oleh :- Muda Muhammad

Tidak perlu tunggu 10 tahun, pada hari ini pun sudah ramai orang hendak datang ke Sabah. Melancong ke Sabah bukannya sehari atau dua hari, perlu menginap lama sedikit baru berbaloi dengan tiket penerbangan dan perjalanan yang ditempuhi. Oleh kerana itulah, ramai pelancong datang ke Sabah, negerinya amat selesa untuk didiami, selain tarikan Pantai, Pulau, Padang Golf dan Pemandangan yang sedia ada di negeri Sabah.

Pada 23 Jun 2023, Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya menyatakan Sabah berpotensi untuk menjadi sebuah negeri yang selesa (liveable) untuk didiami dalam tempoh 10 tahun akan datang jika jaringan sistem membabitkan infrastruktur, pendidikan, kesihatan dan perumahan dalam keadaan baik.

“Namun untuk sebuah negeri menjadi sebuah ‘livable state’ ada beberapa perkara yang perlu dicapai. Pertama, keadaan infrastruktur yang baik dan selamat termasuklah jalan raya, air dan elektrik.”

“Dengan adanya kombinasi jaringan infrastruktur yang baik, lengkap dan selamat, sistem pendidikan yang baik, sistem kesihatan yang baik dan sistem perumahan yang baik, kita akan capai keadaan sebagai ‘livable state,” kata Ir Shahelmy dalam satu program Dialog Siswa Sinar Harian di Dewan Al-Bukhari, UiTM Cawangan Sabah Kampus Kota Kinabalu.

Selain daripada itu, Sabah juga memperkemaskan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam mencapai kemampanan bandar sekaligus menghadirkan kebahagian kepada seluruh rakyat yang mendiami sesuatu bandar tersebut. Jika mengikut rekod, secara keseluruhannya terdapat sejumlah 26 PBT di negeri Sabah.

Sejumlah 26 PBT di negeri Sabah dan pencapaian Indeks Kemampanan Bandar melalui Program MURNInets 2.0 bagi tahun 2022 (data dinilai tahun 2021)

Jika melihat kepada skor di atas, keseluruhannya negeri Sabah hanya mencatat 67.17% skor berbanding negeri lain yang mencatat skor 70 dan 80 skor ke atas. Skor ini boleh dibaiki dengan usaha sama bersama antara PBT dan masyarakat. Ada juga PBT di Sabah yang mencatat skor 80 markah ke atas iaitu Majlis Perbandaran Sandakan 80.75% dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu dengan skor hampir 80 markah.

Majlis Perbandaran Sandakan dan Kota Kinabalu ini boleh menjadi petunjuk prestasi dan pemangkin kepada PBT yang lain untuk menambaik baik prestasi seterusnya mengunjurkan markah yang lebih baik dari sebelumnya. Ada PBT yang berada di luar bandar mencatat skor antara 50 ke 60 markah sahaja. PBT ini perlu dianjak ke kedudukan skor 70 markah terlebih dahalu untuk memperbaiki prestasi keseluruhan PBT di negeri Sabah.

Wisma Majlis Perbandaran Sandakan

Apakah Program MURNInet ini sebenarnya? MURNInet merupakan singkatan kepada Jaringan Penunjuk Pembangunan Mampan Bandar-Luar Bandar Malaysia (Malaysian Urban-Rural National Indicators Network for Sustainable Development). Program ini adalah pendekatan dan kaedah yang dapat mengukur dan menilai kemampanan sesebuah bandar serta kawasan gabungannya melalui penggunaan penunjuk bandar.

MURNInets telah digunakan sebagai alat pengukur kemampanan bandar-bandar di Malaysia bermula tahun 2012. MURNInets menjadi program utama bukan hanya di peringkat jabatan malah di peringkat Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta digunakan oleh Kementerian lain yang berkaitan.

Sejak tahun 2007, PBT yang menyertai program ini dan mencapai status bandar mampan telah diberi penghargaan melalui Anugerah Bandar Mampan. Ada 11 sektor utama yang merangkumi 40 penunjuk kemampanan bandar. Penunjuk ini kemudiannya telah diubah seiring dengan keperluan dasar-dasar di Malaysia.  

Mengapa pentingnya indeks kemampanan bandar ini? Ianya penting untuk menilai dan menentukan kemampanan kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara berdasarkan satu set penunjuk terpilih. Seterusnya mengenal pasti kekuatan dan kelemahan di kawasan PBT berdasarkan penunjuk kemampanan tersebut.

Selain itu, MURNInets ini boleh dijadikan panduan untuk cadangan langkah penambahbaikan dan mengenal pasti peluang untuk meningkatkan tahap kemampanan sesuatu kawasan.

Akhirnya sekali MURNInets 2.0 ini akan dijadikan sebagai alat pengukuran utama untuk PBT di Sabah bagi memantau tahap kemampanan kawasan mereka dan sebagai panduan kepada pihak-pihak berkepentingan seperti pembuat dasar, agensi teknikal, pihak swasta dan awam serta Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).

Dengan memberi fokus kepada kemampanan bandar (PBT) yang lebih baik, negeri Sabah yang kini sudah berada di hadapan dalam pelan teknologi & tenaga hijau dan  environmental, social and governance (ESG) boleh berada di satu kedudukan liveable state yang lebih baik untuk rakyat, pelancong dan pelabur di negeri Sabah.

Usaha ini boleh dilakukan secara bersama, Sabah ada kelebihan dan potensi yang besar untuk kemampanan bandar dan ESG bergerak secara seiring seterusnya bukan sahaja menarik pelancong yang ramai ke Sabah tetapi pelaburan yang mampan ke negeri Sabah.

RELATED ARTICLES
Utama

Pembinaan 12 Rumah Ihsan Membakut dijangka siap Februari 2025

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular