KOTA KINABALU: Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) telah berjaya mengagihkan daging Korban kepada 327 saudara Islam serta golongan kurang berkemampuan daripada kumpulan B40 di Kota Kinabalu melalui Masjid Negeri Sabah dan Masjid Bandaraya Kota Kinabalu.
Hari Raya Haji, juga dikenali sebagai Aidiladha, yang jatuh pada 29 Jun tahun ini, disambut umat Islam dengan solat hajat dan ibadah korban yang melibatkan penyembelihan ternakan dan pengagihan daging kepada mereka yang memerlukan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif D’Heritage Sdn Bhd (Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah), Datuk Rosmawati Lasuki, inisiatif SICC menunjukkan usaha untuk mendekati golongan kurang berkemampuan.
“Melalui program Korban, kami berharap dapat menggalakkan amal kebajikan kepada mereka yang memerlukan. Ia adalah peringatan bahawa kegembiraan memberi tidak terhad kepada mana-mana majlis tertentu tetapi boleh dikongsi dengan orang lain sepanjang tahun,” katanya.