HomeUtamaAmalkan budaya berintegriti dalam kalangan pejawat awam - Shahelmey

Amalkan budaya berintegriti dalam kalangan pejawat awam – Shahelmey

Read Time:2 Minute, 6 Second

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri III Datuk Ir Shahelmey Yahya menggesa semua warga kementerian, jabatan dan agensi khususnya dibawah Kementerian Kerja Raya Sabah (KKRS) agar mengamalkan budaya berintegriti dalam kalangan pejawat awam.

Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata, budaya berintegriti dalam kalangan pejawat awam amatlah penting. Justeru itu, setiap penjawat awam adalah dituntut untuk melaksanakan tugas dan kuasa dengan penuh Amanah dan tanggungjawab, tulus dan telus, profesional berakauntabiliti serta patuh dengan undang-undang dan peraturan-peraturan yang berkuatkuasa.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Pelancaran Minggu Integriti Kementerian Kerja Raya Sabah Bersama Jabatan Dan Agensi 2023 di Hotel Hilton di sini, hari ini.

Minggu Integriti ini merupakan satu inisiatif Kementerian untuk menyemarakkan lagi budaya integriti dan memupuk akauntabiliti khususnya di kalangan warga Kementerian ini dan penjawat awam secara amnya.

Menurut Shahelmey, ketirisan integriti biasanya berpunca daripada kelemahan dalaman individu itu sendiri yang ada kalanya mengatasi segala prosedur, struktur norma dan system kerja sedia ada. Boleh disimpulkan bahawa nilai integriti itu wujud dalam diri setiap individu dan ianya boleh diperkukuhkan lagi dengan penerapan amalan beretika dan disiplin yang tinggi.

“Justeru itu, saya berharap agar semua warga Kementerian ini mempunyai kekuatan diri yang utuh bagi mencerminkan watak dan keperibadian yang unggul.

“Sebenarnya, Integriti bukan hanya tertumpu kepada isu-isu berkaitan rasuah sahaja. Ianya merupakan satu konsep yang jauh lebih besar dan luas. Amalan kerja harian juga menuntut integriti, kita perlu berintegriti dalam konteks ketepatan waktu bekerja, berintegriti dalam menyampaikan maklumat, berintegriti dalam memberi perkhidmatan terbaik.

“Hatta, mengamalkan budaya berintegriti dalam hubungan sesama rakan sekerja di sesebuah organisasi juga adalah satu amalan yang sangat mulia dan digalakkan,” tegasnya.

Sehubungan dengan itu beliau turut menyarankan kepada semua warga kementerian, jabatan dan agensi dibawah KKRS agar perlu mempunyai disiplin dan jati diri yang kental.

“Nilai-nilai murni seperti kemandirian, kecekalan, kekitaan dan semangat kebersamaan perlu diterapkan bagi membina kekuatan watak yang unggul dan berwibawa,” katanya.

Minggu Integriti KKRS ini dilaksanakan oleh Kementerian Kerja Raya Sabah bersama Jabatan dan Agensi dibawahnya pada 3 Julai hingga 9 Julai 2023.

Antara Pengisian Pelancaran Minggu Integriti KKRS pada pagi ini adalah sesi Ikrar Bebas Rasuah (IBR) dan pengukuhan ceramah.

KKRS adalah merupakan Kementerian/Jabatan yang ketiga dalam tahun ini melaksanakan Program Minggu Integriti selepas Kementerian Pembangunan Luar bandar (KPLB) dan Jabatan Ketua Menteri (JKM) Sabah.

Penganjuran Program Minggu Integriti KKRS ini adalah bertujuan untuk memantapkan lagi dan membudayakan amalan integriti di kalangan penjawat awam kerajaan
Negeri khususnya bagi warga kerja di Kementerian Kerja Raya Sabah dan semua jabatan dan agensi-agensinya secara menyeluruh, berkesan dan berterusan.

RELATED ARTICLES
Utama

KM minta tindakan profesional tangani isu di Sabah

Bangunan Kerajaan Sabah Pentadbiran Sabah Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular