HomeEkonomiSKM Sabah yakin capai sasaran daftar lebih 100 koperasi

SKM Sabah yakin capai sasaran daftar lebih 100 koperasi

Read Time:1 Minute, 59 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

Kota Kinabalu: Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Sabah yakin akan dapat mencapai sasaran untuk mendaftar lebih 100 koperasi di Sabah pada tahun ini.

Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Sabah Matias Kudapin berkata, keyakinan itu berdasarkan maklum balas yang diterima daripada orang ramai setiap kali SKM mengadakan program dilapangan.

“Setiap kali program turun padang di Sabah, YB Menteri sentiasa bercakap mengenai kepentingan menubuhkan koperasi dan mewar-warkan skim-skim pembiayaan yang disediakan agensi-agensi di bawah kementerian.

“Minat orang ramai untuk menubuhkan koperasi terus meningkat bukan sahaja daripada program-program atau pameran SKM tetapi hasil galakan berterusan daripada pemimpin iaitu menteri sendiri ketika program turun padang bertemu penduduk kampung,” katanya ketika ditemui di pejabat di sini.

Matias berkata, setakat Jun tahun ini, SKM Sabah telah melaksanakan tiga program pembangunan perniagaan dan 26 program promosi dan pembudayaan.

“SKM peringkat wilayah juga berjaya menganjurkan dua klinik perakaunan bagi membantu koperasi dalam proses menyiapkan akaun koperasi,” katanya 

Katanya lagi, sepanjang tahun lalu, SKM berjaya mendaftarkan sebanyak 103 koperasi di Sabah.

“Dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, sebanyak 52 koperasi berjaya didaftarkan dan masih banyak permohonan yang sedang diproses untuk pendaftaran. Saya menjangkakan selepas ini jumlah permohonan baharu terus meningkat,” katanya.

Beliau berkata, bagi meningkatkan kefahaman orang ramai mengenai kepentingan menubuhkan koperasi, SKM Sabah merancang pelbagai program pembangunan koperasi sepanjang tahun ini.

“Antaranya program penggalakan, pembudayaan, promosi dan pemantapan koperasi yang dilaksanakan di seluruh Sabah iaitu Kota Kinabalu, Sandakan, Long Pasia dan Tawau.

“Program-program yang telah kita laksanakan awal tahun ini (Januari dan Februari) ialah Program Sembang Santai Bersama Koperasi Komuniti Gerakan Koperasi Negeri Sabah dan Taklimat Kesedaran Membudayakan Masyarakat Berkoperasi.

“Selain itu, pada bulan ini (Julai) buat julung kalinya sambutan Hari Koperasi Negara akan diadakan di Sabah,” katanya.

Mengenai jumlah koperasi yang didaftarkan di Sabah, Matias berkata, setakat 27 Jun tahun ini, sebanyak 1,749 koperasi didaftarkan dengan keanggotaan seramai 350,368 orang dan perolehan mencecah RM569.71 juta.

“Secara keseluruhannya, jumlah modal syer sebanyak RM65.29 juta, yuran (RM166.79 juta) dan aset sebanyak RM915.25 juta,” katanya.

Beliau berkata, kebanyakan koperasi yang berdaftar di Sabah terlibat dalam pelbagai bidang perniagaan antaranya pertanian, pelancongan dan peruncitan.

“Koperasi juga dimiliki oleh pelbagai kumpulan sasaran iaitu wanita, belia, kakitangan kerajaan, petani, sekolah, persatuan, peneroka Felda, swasta, pusat pengajian tinggi, Kariah Masjid, penjaja dan peniaga kecil, pesara dan nelayan,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
EnglishLocal-englishPendapatUtama

An Inspiring Leadership that Celebrates and Reflects Sabah’s Values

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular