HomeUtama23 klinik kesihatan daif dinaik taraf, tingkat keselesaan pengguna

23 klinik kesihatan daif dinaik taraf, tingkat keselesaan pengguna

Read Time:2 Minute, 25 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

Kota Kinabalu:  Sebanyak 23 buah klinik kesihatan daif di negeri ini sedang dinaik taraf dan dijangka siap sepenuhnya pada tahun ini.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Asits Sanna berkata, sebanyak 72 buah klinik yang dikenal pasti sebagai daif turut disenaraikan dalam usaha menambah baik perkhidmatan kesihatan di Sabah.

Katanya, klinik berkenaan juga akan turut dinaik taraf secara berperingkat menerusi Perancangan Strategik Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS).

“Daripada 327 klinik kesihatan di negeri ini, 95 klinik daif telah dikenal pasti dan akan dinaik taraf secara berperingkat.

“Buat permulaan, pada tahun ini sebanyak 23 buah klinik kesihatan daif sedang dinaik taraf daripada binaan kayu kepada binaan konkrit.

“Setakat ini, dua daripadanya telah pun siap iaitu Klinik Desa Lajong, Kudat dan Klinik Desa Mumiang Sandakan manakala 21 projek lagi disasarkan siap sepenuhnya menjelang hujung November ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu, di sini semalam.

Dr Asits berkata, JKNS juga komited menambah baik infrastruktur fasiliti kesihatan di dua buah hospital masing-masing dengan menaik taraf hospital daerah ke hospital pakar dan menaik taraf hospital pakar ke status hospital negeri.

“JKNS berusaha untuk menaik taraf hospital daerah ke hospital pakar iaitu Hospital Beaufort dan Hospital Kota Marudu yang kedua-duanya sudah pun tersenarai dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) dan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).

“Sementara itu, kita juga menaik taraf dua buah hospital pakar iaitu Hospital Tawau dan Hospital Duchess Of Kent Sandakan (HDOFS) ke status hospital negeri seperti yang dirancang dalam Kertas Putih Kesihatan,” katanya. 

Tambah beliau, JKNS juga merancang mewujudkan komponen klinik pergigian di klinik kesihatan yang belum ada komponen pergigian melibatkan 90 buah klinik.

Turut terangkum dalam perancangan strategik JKNS ialah mewujudkan Wisma Jabatan Kesihatan Sabah sendiri bagi menyatukan semua bahagian dalam satu bangunan yang sama. 

“Pada masa ini, ada bahagian yang menyewa di bangunan lain. Oleh itu, kita merancang projek ini dan dimasukkan dalam senarai RMK13 atau RMK14,” katanya. 

Terdahulu, Tun Juhar menerima kunjungan hormat Presiden Persatuan Pencegah Batuk Kering Sabah (SABATA), Masdah Enti serta rombongan bagi menyempurnakan pelancaran penjualan bendera yang diadakan pada setiap Julai.

Jelas Masdah, pihaknya akan terus berusaha mendapatkan dana dengan meletakkan sasaran jualan sebanyak RM30,000 bagi membantu para pesakit tibi di negeri ini.

“Kita berharap pada tahun ini kita boleh mencapai sasaran RM30,000 sebab itulah yang biasa kami dapat kutip setiap tahun.

“Sambutan dari tahun ke tahun, lebih kurang sama kerana ekonomi kita juga kurang memberangsangkan tetapi dari segi pungutan kami jangkakan lebih kurang begitulah jumlahnya.

“Memang jumlah ini memang tidak mencukupi, tetapi kita akan berusaha mencari sumber kewangan lain termasuk daripada kerajaan negeri dan persekutuan supaya kita dapat membantu  persekutuan supaya kita dapat membantu pesakit-pesakit tibi yang benar-benar memerlukan bantuan kewangan,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Bagaikan mimpi, penoreh getah kini jutawan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular