RANAU: Mayat seorang warga emas perempuan ditemui tersangkut di sebatang kayu di kawasan tebing sungai di Kampung Tinanom dekat sini pagi tadi.
Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan pagi tadi (6 Julai) meminta bantuan mengangkat mayat mangsa dari lokasi kejadian.
“Sepasukan Bomba bergegas ke lokasi kejadian kira-kira 74 kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau dan membantu mengangkat mayat mangsa dikenali sebagai Minggui Belinting, 81, yang tersangkut di sebatang kayu di kawasan tebing sungai.
“Seterusnya mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, setelah memastikan tiada kemerbahayaan lain, pihak bomba menamatkan operasi pada jam 11.20 pagi.