Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Kota Kinabalu : Pelaksanaan program ‘Educating Students as Agents for Change in Climate Action’ mampu meningkatkan kesedaran kepada isu pencemaran udara serta pelbagai masalah alam sekitar khususnya di negeri ini.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, ia termasuklah isu pengurusan sisa dan pencemaran air.
“Menyedari hakikat itu, Kementerian Pendidikan bersama Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) serta Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Gaya selain beberapa pihak lain telah mengambil daya usaha untuk memberikan kesedaran, ilmu pengetahuan dan melaksanakan program berkaitan kelestarian alam sekitar dunia.
“Program ini juga merupakan satu usaha untuk guru-guru menghasilkan rancangan pengajaran dan pembelajaran, atau lebih dikenali sebagai ‘Lesson Plans’.
“Guru-guru dari lima buah sekolah yang terlibat dengan program ini akan merekabentuk ‘lesson plan tambahan’ dengan bantuan khidmat nasihat daripada kepakaran pensyarah dari IPG Kampus Gaya untuk dikongsi bersama dengan guru-guru lain di sekolah masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis penutupan ‘Showcase : Educating Students as Agents for Change in Climate Action’ di IPG Kampus Gaya di sini hari ini.
Arifin yang juga Exco Pendidikan berkata, program itu juga merupakan usaha untuk memberikan peluang kepada murid untuk menghasilkan video klip melalui Program Siung Films Eco-Schools Competition.
Katanya, program ini juga sedang dijalankan di lima buah sekolah di sekitar Kota Kinabalu, Sabah.
“Saya difahamkan, bahawa program ini melibatkan sasaran 665 individu bagi menjayakan pelbagai aktiviti berkonsepkan kelestrian alam sekitar. Individu ini terdiri daripada lima orang ‘Yell Unicef’, para pensyarah, guru-guru sekolah, pelajar IPG, pelajar sekolah menengah dan rendah.
“Mereka diharapkan dapat menyumbang kepada peningkatan dan perubahan amalan lestari dalam kalangan guru dan murid serta masyarakat.
“Maka pada hari ini, satu majlis khas diadakan untuk memberi pengiktirafan kepada guru-guru dan murid-murid daripada lima buah sekolah yang terlibat dalam usaha untuk memelihara alam sekitar dan juga menyebar luas agenda pemeliharaan alam sekitar kepada sekolah lain,” katanya.
Sementara itu, Arifin berkata, beberapa pelan komunikasi sebagai strategik berkesan diaplikasikan bagi tujuan memupuk pemahaman dalam isu perubahan iklim dan alam sekitar serta mengukuhkan peranan guru dalam pendidikan iklim dan kelestarian alam, khususnya kepada murid-murid di Sabah.
Di samping itu katanya, program itu juga akan dapat memberikan platform kepada guru-guru yang memang ada kesedaran tentang kepentingan Pendidikan lestari alam tetapi tidak mempunyai sumber untuk mencuba.- SABAH MEDIA