Sindiket pengedaran dadah, di Sabah tumpas RM1.2 juta barang disita

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 44 Second

KOTA KINABALU: Polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah di negeri ini melibatkan rampasan sebanyak 14 kilogram dadah jenis syabu dengan nilai sitaan RM1.2 juta termasuk rampasan wang tunai, barang kemas dan berharga.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun berkata, rampasan ini adalah menerusi beberapa siri tangkapan sepanjang minggu ini (bulan Julai 2023) selain menahan lima suspek berusia antara 17 hingga 40’an.

Katanya, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dengan bantuan daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Kinabatangan menjalankan serbuan dan tangkapan ke atas suspek pertama pada jam 11.45 pagi Isnin lalu.

“Serbuan dilakukan terhadap sebuah kenderaan di Kilometer 68 Jalan Sandakan-Lahad Datu dan terdapat seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun dilihat sedang meletakkan sebuah kotak ke dalam bonet kereta.

“Hasil pemeriksaan berjaya merampas 10 bungkusan berisi disyaki syabu dengan berat kasar 10.05 kilogram bernilai kira-kira RM600,000 mengikut harga pasaran Sabah dalam kotak yang dibawa lelaki tersebut,” katanya pada sidang media di IPK Sabah pada Jumaat.

Menurutnya, dalam tangkapan di daerah lain sebanyak lebih empat kilogram dadah berjaya dirampas di Semporna, Inanam dan juga Tuaran.

“Seorang lelaki tempatan dan lelaki asing ditahan bersama 2.03 kilogram syabu bernilai RM120,000 pada Isnin lalu di Semporna.

“Manakala keesokan harinya, seorang remaja lelaki warga asing turut ditahan bersama 1.07 kilogram dadah dan seorang lagi lelaki warga asing berusia 33 tahun turut ditahan bersama 1.05 kilogram syabu di Inanam,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini rampasan membabitkan wang tunai sebanyak RM164,000, barang kemas RM172,000, barangan ekslusif membabitkan beg dan jam tangan bernilai RM90,000 serta 11 kenderaan yang dipercayai hasil daripada aktiviti ini bernilai RM790,000 dengan jumlah keseluruhan rampasan sebanyak RM1.2 juta.

Katanya, syabu yang berjaya dirampas itu mampu menampung sehingga 50,000 penagih dadah dan ini merupakan rampasan terbesar untuk suku tahun ini bagi IPK Sabah.

“Siastan mendapati ada tangkapan dipercayai mulai aktif pada awal tahun ini dan syabu yang diedar untuk pasaran tempatan dan luar negara.

“Semua kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *