HomeIsu tempatanDua pemburu ditemui selamat selepas hampir dua minggu hilang di hutan

Dua pemburu ditemui selamat selepas hampir dua minggu hilang di hutan

Read Time:1 Minute, 35 Second

TAWAU: Hampir dua minggu dikhuatiri hilang di dalam hutan ketika memburu sejak 24 Jun lalu, dua mangsa termasuk seorang kanak-kanak 11 tahun ditemui selamat oleh orang awam pada jam 9.30 pagi tadi (7 Julai).

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau TPgB Jemishin Ujin ketika dihubungi Sabah Media hari ini mengesahkan penemuan dua mangsa dikenali sebagai Iwan Musakir, 33, dan Al Fajri Anto, 11.

Jemishin berkata, pihaknya mendapat maklumat daripada Pegawai Penyiasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM), kedua-dua mangsa dijumpai oleh orang awam sekitar jam 9.30 pagi sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari ke-9 dimulakan dan mangsa ditemui pada jarak 7.5 kilometer dari lokasi mangsa dipercayai hilang di kawasan hutan berhampiran Ladang Usahawan Borneo Brumas, Tawau.

“Mangsa dikatakan dapat bertahan untuk meneruskan hidup dengan hanya minum air sungai dan memakan jambu di tepi sungai selama hampir dua minggu berada di dalam hutan berkenaan.

“Mangsa memberitahu mereka juga terdengar suara pasukan penyelamat dari tepi ladang dan kedua-dua mangsa berjaya keluar dari hutan tersebut pada jam 9.30 pagi,” kata Jemishin.

Menurut Jemishin, kedua-dua mangsa seterusnya dihantar ke Dewan Pusat Kawalan Operasi Bomba (PKOB) berjumpa dengan keluarga mangsa.

“Pasukan Bomba menjalankan pemeriksaan terhadap mangsa memastikan mangsa dalam keadaan baik sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 1 petang,” katanya.

Sebelum ini, pada 29 Jun 2023 pihak kawalan BBP Tawau terima laporan daripada pihak polis terdapat dua orang mangsa dikhuatiri hilang di hutan ketika menjalankan aktiviti memburu sejak 24 Jun 2023 di kawasan hutan berhampiran Ladang Usahawan Borneo Brumas, Tawau .

Menurut laporan itu, mangsa keluar memburu secara berkumpulan iaitu lapan orang dan telah berpecah kepada beberapa kumpulan ketika di dalam hutan.

“Usaha mencari mangsa telah dilakukan oleh rakan-rakannya namun kedua-dua mangsa hilang.

“Pasukan SAR mencari mangsa hilang dilancarkan pada 29 Jun terdiri daripada bomba, polis, Pasukan Gerakan Am (PGA), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Pejabat Perhutanan dan SAPURA – Komunikasi,” katanya.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

PKK Biz @ Akademia catat lebih RM20,000 nilai jualan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular